Bola Sepak

Dell sah terima laporan, khabarnya ada bekas kapten dan pegawai tertinggi AFC


EKSKLUSIF oleh: MOHD FARIQ

PENGERUSI Badan Siasatan Bebas, Datuk Dell Akbar Khan sudah menerima laporan ketua jurulatih dan pengurusan pasukan kebangsaan untuk dijadikan teras siasatan bedah siasat terhadap kegagalan skuad Harimau Malaya di Piala AFF Suzuki Disember lalu.

Dell juga sudah mengenal pasti anggota badan bebas itu yang rata-rata dianggotai mereka yang bebas dan tidak ada sebarang jawatan atau ikatan dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), dengan latar belakang selaku pemain, jurulatih, pengurusan, agensi kerajaan dan media.

“Saya telah terima laporan daripada FAM lewat petang semalam (Sabtu) dan juga saya telah kenal pasti ahli-ahli jawatankuasa.

“Mesyuarat pertama akan diadakan dalam masa terdekat,” katanya kepada CAKAP SUKAN.

Di khabarkan antaranya ahli adalah seorang bekas kapten kebangsaan, bekas pegawai tertinggi Asian Football Confederation (AFC), seorang veteran media dan seorang yang masih memegang jawatan tertinggi di dalam sebuah organisasi kerajaan.

Dell Akbar Khan

Badan ini djangka bersidang dalam masa terdekat disebabkan keperluan melantik jurulatih baharu untuk persiapan menjelang kelayakan Piala Asia 2023 Jun nanti.

Bekas Ketua Polis Kuala Lumpur itu dilantik oleh FAM bagi mengetuai proses bedah siasat terhadap kegagalan di Piala AFF Suzuki 2020 serta mengemukakan cadangan penambahbaikan pasukan kebangsaan.

Aksi terakhir Malaysia lawan Indonesia pada peringkat kumpulan Piala AFF 2020 baru-baru ini.

Dikenali dengan kaedah pengurusan yang terbuka (pejabat Dell di Tingkat 3 FAM sentiasa terbuka ketika beliau menjadi Setiausaha Agung), Dell diberi kuasa menemubual mana-mana pemegang taruh untuk memperhalusi setiap maklumat serta menyenaraikan langkah-langkah penambahbaikan bertujuan memperkuatkan pasukan kebangsaan.

Malah badan siasatan bebas ini juga diberi kuasa untuk menemu bual mana-mana pemegang taruh dan individu yang boleh memberi cadangan menambah baik kaedah pengurusan pasukan kebangsaan.

Dell dijangka meneliti proses persiapan, kaedah panggilan skuad kebangsaan, penjadualan liga, pengurusan pasukan kebangsaan, khidmat sokongan dan pengurusan persepsi pasukan kebangsaan.

 


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply to Pasukan Badan Siasatan Bebas Harimau Malaya mula ‘bersua muka’ Cancel reply

%d bloggers like this: