Hoki

Perak unggul pertahan kejuaraan buat kali kedua


Barisan pemain Perak meraikan kejayaan mempertahankan kejuaraan TNB Piala Tun Abdul Razak untuk tahun kedua berturut-turut. (Foto : ArenaHokiMalaysia)

PERAK ungggul mempertahankan kejuaraan TNB Piala Tun Abdul Razak untuk tahun kedua berturut-turut selepas menundukkan Pahang, 2-1 pada perlawanan akhir Kejohanan Hoki TNB Piala Tun Abdul Razak (Lelaki) ke-59 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil malam tadi.

Saiful Sharil Saiful Bahri menjadi tunjang kejayaan Perak apabila menjaringkan gol kemenangan buat Perak selepas terikat 1-1 pada separuh masa kedua.

Kemenangan itu meleburkan harapan Pahang untuk merealisasikan kejuaraan pertama sekalipun telah beraksi tiga kali di pentas final (2011, 2012, 2014).

Perak, yang mengetepikan cabaran naib juara tahun lepas Terengganu pada aksi separuh akhir semalam, turun dengan reputasi ampuh sebagai juara 10 kali selain enam kali tampil di final sejak 10 tahun lepas.

Jaringan awal Muhammad Akram Hakkam Jamaluddin pada suku pertama memberi kelebihan kepada Perak untuk mengukuhkan kedudukan dan mencatur strategi dengan lebih berkesan.

Dua suku pertama menyaksikan Perak lebih banyak mengasak tetapi Pahang berjaya menyerap segala tekanan terutama menerusi gerakan menyerang dari tengah.

Permainan separuh masa kedua seimbang dengan kedua-dua pasukan bermain dengan intensiti tinggi untuk menembusi pertahanan lawan.

Ketua pasukan Ismail Abu akhirnya menemui sentuhan menghasilkan gol penyamaan buat Pahang pada minit ke-37 sekaligus menjadikan rentak permainan tambah rancak dan terbuka. Ia gol peribadi keempat buat pemain berusia 37 tahun itu.

Bagaimanapun, Perak kembali di depan apabila Saiful Sharil Saiful Bahari tidak mensia-siakan peluang pukulan sudut penalti pada minit ke-44 untuk membolosi gawang gol Pahang. Kedudukan tidak berubah sehinggalah wisel penamat dibunyikan.

“Alhamdulillah kami berjaya meraih kejuaraan dan pujian kepada semua pemain yang bermati-matian malam ini. Memang strategi kami untuk mencari gol awal dan ianya berhasil.

Keseluruhannya, saya puas hati dengan prestasi pemain. Tanpa pemain senior, kami berjaya dengan barisan pemain-pemain muda dan ini menunjukkan bahawa Perak tidak ketandusan bakat hoki,” kata jurulatih Abdul Sukur Adam.

SENARAI ANUGERAH TNB PIALA TUN ABDUL RAZAK 2021 (WANITA) EDISI KE-59

JUARA: Perak

NAIB JUARA: Pahang

KETIGA: Melaka

FAIRPLAY:  Melaka

PENJARING TERBANYAK: Muhammad Idris Samad (Pahang) 10 gol

PEMAIN TERBAIK PERLAWANAN AKHIR: Mohamad Izad Hakimi Jamaluddin (PERAK)


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading