Permotoran

Bukan masalah peribadi – Hafizh


Oleh : SUBKHI SUDARJI

PELUMBA Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah menafikan masalah peribadi menjadi punca kontraknya dengan NTS RW Racing GP tidak dilanjutkan.

Tegasnya, dia mengetahui kemampuan yang ada pada dirinya dalam tempoh dua tahun yang sangat sukar dan diambil sebagai pengalaman sebelum membuat keputusan undur diri untuk meneruskan saingan musim depan.

“Saya tak salahkan pasukan, tetapi untuk kalahkan pasukan lain yang menggunakan casis kalex agak sukar. Daripada saya menyeksa diri saya sendiri, lebih baik saya habiskan masa dengan keluarga.

“Kalau nak harap data dari saya seorang agak susah nak tingkatkan prestasi jentera. Macam mana saya nak bersaing dengan pelumba lain jika perkembangan jentera agak perlahan.

“Saya akui pasukan positif dan saya tak boleh nak beri tumpuan jika semua tertumpu kepada saya. Jika ada rakan pasukan yang baik dan laju, kita dapat tingkatkan prestasi jentera dengan lebih cepat,” katanya.

Pada masa sama, pelumba berusia 27 tahun itu terpaksa menarik diri daripada menyertai perlumbaan di Grand Prix Emilia Romagna, selepas datuk dan nenek sebelah bapanya kritikal susulan dijangkiti Covid-19.

Pelumba NTS RW Racing GP itu berkata, dia berbuat demikian kerana tidak mahu berjauhan dengan insan tersayang setelah merasainya sewaktu kehilangan nenek sebelah ibunya, Arbaieah Muhammad pada September tahun lalu.

“Saya terpaksa membuat keputusan ini kerana atuk dan nenek saya positif di tahap 3 dan 4. Keadaan mereka lemah dan saya perlu bersedia dengan segala kemungkinan.

“Saya memang minat berlumba, bila situasi macam ini keadaan bertambah berat. Jadi, saya tidak mahu berjauhan dengan keluarga dan tak sanggup hilang orang tersayang lagi.

“Pasukan juga faham dengan situasi saya dan tunggu keadaan saya baik seperti biasa. Selepas itu saya akan habiskan baki dua perlumbaan musim ini di GP Algarve dan terakhir di Valencia,” katanya.

 


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading