Antarabangsa

Evra dedah kisah pahit alami penderaan seksual


Evra antara pemain terbaik ketika bersama Manchester United.

BEKAS pemain Manchester United Patrice Evra mendedahkan dia didera secara seksual oleh bekas guru besarnya di Perancis.

Evra yang terkenal sebagai salah seorang pemain pertahanan terbaik sepanjang lapan tahun di United mendedahkan kisah pahitnya pada usia 13 tahun dalam dalam autobiografi ‘I Love This Game’.

Dia yang kini berusia 40 tahun mendakwa polis pernah bertemu dengannya untuk mengetahui isu tersebut selepas pihak berkuasa turut menerima aduan daripada pelajar-pelajar lain.

Namun ketika itu dia menafikan berdepan dengan penderaan seksual dan kini Evra memberitahu keputusan tersebut adalah ‘penyesalan terbesar’ dalam hidupnya.

Ketika ditemubual The Times, Evra mendedahkan dia hanya memberitahu ibunya dua minggu lalu mengenai perkara ini.

“Saya tidak mahu orang berasa kasihan. Ia situasi sukar.

“Seorang ibu tidak akan menjangkakan perkara ini daripada anaknya sendiri. Dia berasa sesuatu yang tidak kena dan pernah bertanyakan kepada saya kenapa tidak mahu tidur di rumah guru tersebut. Hanya pada usia 40 tahun baharu saya berani memberitahunya,” ujarnya.

Evra merakam momen terbaik sepanjang berada di Old Trafford.

Evra mengakui dia merasakan dirinya seorang pengecut kerana tidak mendedahkan penderaan seksual lebih awal dan berharap kisahnya ini akan memberi sokongan kepada orang lain supaya lebih berani tampil ke depan.

“Ketika saya mula terbitkan buku ini, saya tidak mendedahkan semua kerana berasa malu dan takut apa yang orang akan fikir.

“Namun kini saya lebih berani kerana tidak mahu kanak-kanak lain berada dalam situasi saya dan malu dengan diri sendiri. Ini bukan kerana keberanian semata-mata, sebaliknya melibatkan persediaan mental untuk bercakap,” tambahnya yang bersara daripada bola sepak pada tahun 2019.

Mengimbas kembali pengalamannya itu, Evra memberitahu gurunya itu tinggal bersendirian dan selalu mempelawa pelajar-pelajar tinggal dengannya.

“Dia datang ke bilik saya, cuba memujuk dan membenarkan saya bermain Nintendo. Dia membantu saya menyiapkan kerja sekolah dan menyediakan masakan yang sedap. Dan selepas itu dia cuba melakukan sesuatu kepada saya.

Evra tiba di United pada tahun 2006.

“Selepas itu saya tidak lagi tidur di rumahnya dan kembali kepada keluarga tanpa memberitahu sebabnya kepada ibu saya.

“Sebelum itu, guru saya seperti tahu saya akan pulang dan dia telah memasukkan kemaluan saya ke dalam mulutnya.

“Beberapa tahun kemudian, ketika saya bermain untuk Monaco, pihak polis menghubungi saya kerana ada kanak-kanak lain yang membuat laporan terhadapnya.

“Kerana saya seorang yang terkenal dan bimbang terhadap reaksi orang lain, saya tipu polis dengan menafikannya. Dan ia telah membuat saya menyesal (tidak memberitahu perkara sebenar).”


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading