Bola Sepak

“Perkhabaran yang tidak diingini, harap semua kembali pulih”


Stuart Ramalingam

LIGA Bolasepak Malaysia (MFL) mendoakan kesihatan pegawai dan pemain Negeri Sembilan FC yang telah disahkan positif Covid-19.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam, beliau telah menerima surat makluman daripada pihak Negeri Sembilan FC pada hari ini telah mengesahkan seramai empat pegawai dan 20 pemain mereka telah didapati positif virus berkenaan.

Jelas Stuart, pihak MFL ingin berharap barisan pegawai dan pemain Negeri Sembilan FC cekal dan tabah menghadapi ujian ini dan berharap skuad Hoben Jang Hoben itu akan kembali beraksi di pentas Liga Malaysia dalam tempoh terdekat.

“Satu perkhabaran yang sememangnya tidak diingini dan saya mewakili pihak MFL mendoakan agar kesemua pegawai dan pemain Negeri Sembilan FC akan kembali pulih seperti biasa serta dalam masa yang sama saya juga berharap pasukan-pasukan lain agar sentiasa kekal berdisiplin dan menjaga gelembung sukan demi memastikan perjalanan pasukan dalam kempen TM Piala Malaysia 2021 tidak terjejas.

“Negeri Sembilan FC yang mula menjalani prosedur isolasi atau kuarantin bermula 18 Oktober 2021 sehingga 27 Oktober 2021, tidak dapat meneruskan perjuangan dalam peringkat kumpulan sebagaimana mereka diwajibkan menjalani kuarantin selama 14 hari yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Dalam surat makluman Negeri Sembilan FC kepada MFL, mereka telah membuat keputusan untuk tidak meneruskan baki saingan TM Piala Malaysia 2021 di peringkat Kumpulan C dan tidak melibatkan pasukan-pasukan yang lain demi menjaga gelembung sukan bola sepak demi menjaga keselamatan pegawai dan pemain.

“Ini kerana Negeri Sembilan FC melalui doktor pasukan mereka dalam surat makluman telah menjelaskan bahawa pegawai dan pemain yang positif akan memperoleh beberapa kesan sampingan akibat daripada jangkitan Covid-19 ini antaranya penurunan tahap kecergasan fizikal dan kesan ‘detraining’, gelaja jangkitan Post-Covid, kompilasi Kardiovaskular dan kompilasi perubatan lain.

“Sekali lagi saya mewakili pihak MFL ingin mendoakan keselamatan dan kesejahteraan pegawai dan pemain Negeri Sembilan FC akan kembali pulih sedia kala,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.

Sementara itu, Stuart memberitahu perlawanan Negeri Sembilan FC di dalam kempen TM Piala Malaysia 2021 secara automatik telah diberikan kemenangan 3-0 kepada pasukan lawan bermula aksi ketiga dalam saingan Kumpulan C akan datang.

“Merujuk kepada Bahagian 13: Pematuhan SOP Penganjuran Perlawanan TM Piala Malaysia 2021, sekiranya terdapat pegawai atau pemain yang didapati positif Covid-19 dan mereka wajib menjalani kuarantin 14 hari seperti yang ditetapkan oleh KKM sehingga menyebabkan kelab tidak dapat menjalani latihan dan menyertai pertandingan, maka, perlawanan yang melibatkan kelab terbabit akan dibatalkan serta dikira kalah 0-3,” katanya.

Negeri Sembilan FC yang kali terakhir menjulang Piala Malaysia pada 2011, kini menduduki tangga ketiga Kumpulan C selepas mencatatkan tiga mata sepanjang dua perlawanan.

Baki empat perlawanan Negeri Sembilan dalam kempen TM Piala Malaysia 2021 adalah pertemuan menentang Kedah Darul Aman FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada 29 Oktober 2021 dan di Stadium Darul Aman, Alor Setar (2 November 2021), Melaka United FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi (6 November) dan Kelantan United FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada 9 November 2021.


Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading