Bola Sepak

Hairiey Hakim akui momen terbaik sarung jersi Malaysia


Hairiey teruja dipanggil menyertai skuad kuad B-22 negara.

Oleh: SURYATI MOHD NOR

PERTAMA kali menyarung jersi negara, Muhammad Hairiey Hakim Mamat mengakui ianya bakal menjadi momen paling indah dalam kariernya sebagai pemain bola sepak profesional.

Baharu berusia 21 tahun, pemain muda kelahiran Kuala Terengganu ini sememangnya terkejut apabila dia antara 23 pemain skuad muda yang akan berangkat ke Mongolia hari ini bagi menyahut cabaran Kelayakan Piala Asia Bawah 23 Tahun.

Menurut Hairiey, dia amat teruja dan pastinya tidak akan melepaskan peluang ini untuk mempamerkan aksi terbaik membantu skuad kendalian Brad Maloney ini.

Latihan terakhir skuad muda negara sebelum berlepas ke Mongolia pada Rabu. Foto: FAM

“Pengalaman baharu bagi saya dan saya gembira rakan-rakan sepasukan yang sentiasa menyokong antara satu sama lain walaupun saya pertama kali mewakili negara.

“Saya agak mengambil sedikit untuk menyesuaikan diri dengan taktik jurulatih Maloney yang berbeza dengan corak di kelab Terengganu.

“Namun Alhamdullilah semuanya lancar,” kongsinya yang bermain di bahagian pertahanan kepada Cakap Sukan.

Hairiey antara pemain muda Terengganu FC yang menjadi tumpuan.

Dalam pada itu, Hairiey mengakui pencapaiannya hari ini tidak akan terjadi tanpa sokongan kedua ibu bapanya, Sarina Jusoh dan Mamat Embong.

“Saya sempat bertemu dengan ibu dan ayah sebelum ke kem latihan di Kuala Lumpur ini. Mereka juga gembira dengan pencapaian saya ini.

“Dalam pada itu, kelab juga yang banyak membantu dan percaya dengan kebolehan saya sekaligus membolehkan saya menyarung jersi negara.

“Saya akan cuba menggunakan peluang ini sebaik-baiknya,” jelasnya.

Hairiey gembira dapat mewaliki negara dalam aksi Kelayakan Piala Asia B-23 di Mongolia.

Hairiey yang pernah dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Kejohanan Jemputan Piala Bangla 2019 bersama Terengganu FC  menjadikan pengalaman bersama skuad B-22 ini sebagai platform awal untuk terus ke pentas yang lebih tinggi.

“Saya masih lagi muda dan banyak lagi yang ingin saya pelajari untuk terus maju dalam karier bola sepak ini,” jelasnya yang menjadikan pemain pertahanan Real Madrid Marcelo Viera da Silva Junior sebagai idolanya.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply to Susah Nak Buktikan Tentang Penipuan Umur - Brad Maloney Cancel reply

%d bloggers like this: