Bola Sepak

Kemasukan penonton ke stadium mengikut fasa negeri – Ab Ghani


KEBENARAN kemasukan penonton ke stadium untuk menyaksikan perlawanan adalah mengikut status fasa negeri masing-masing.

Presiden Liga Bolasepak Malaysia, Dato’ Ab Ghani Hassan berkata, keputusan ini dibuat berdasarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Jelasnya, bagi negeri yang berada dalam Fasa 2 dibenarkan 20 peratus atau 5,000 penonton (yang mana lebih rendah) diikuti Fasa 3 iaitu 30 peratus atau 10,000 penonton (yang mana lebih rendah) dan Fasa 4 dengan  50 peratus atau 20,000 penonton (yang mana lebih rendah) daripada kapasiti venue yang digunakan untuk hari pertandingan.

“MFL mahu merakamkan ucapan penghargaan kepada pihak kerajaan khususnya Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob yang sebelum ini telah mengumumkan kebenaran kehadiran penonton atau penyokong ke tempat perlawanan sukan dan rekreasi di negeri Fasa 2, Fasa 3 dan Fasa 4.

“Apa yang pasti ia menjadi satu langkah yang baik bagi melonjakkan kembali industri bola sepak negara apatah lagi kita sedang meraikan ulang tahun ke-100 Piala Malaysia selepas kejohanan ini terpaksa dibatalkan akibat pandemik COVID-19 pada tahun lalu.

“Di sini MFL memberikan kebenaran kepada kelab untuk mengikut kuota penyokong yang ditetapkan atau mengurangkan jumlah kemasukan penonton berdasarkan kemampuan kelab daripada segi pengurusan petugas stadium, pasukan keselamatan atau marshall pada hari perlawanan bermula dengan aksi minggu ketiga TM Piala Malaysia pada 29 Oktober ini.

“Apa yang penting juga, hanya penyokong atau penonton sudah lengkap divaksinasi boleh masuk ke stadium selain wajib memakai pelitup muka sepanjang perlawanan serta tiada aktiviti makan minum sepanjang berada di stadium.

“Bagi kanak-kanak bawah umur 18 tahun tidak dibenarkan berada di stadium mengikut SOP yang ditetapkan oleh kerajaan dan juga SOP-SOP kebenaran penonton masuk ke stadium pada April lalu yang telah dikeluarkan sebelum ini,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Ab Ghani turut memaklumkan bahawa penyokong juga dibenarkan untuk menyaksikan perlawanan persahabatan kelab-kelab yang bertanding dalam  Piala Malaysia jika ada kelab yang mengadakan perlawanan pemanas badan sepanjang perlawanan antarabangsa pasukan kebangsaan pada bulan ini.

“MFL turut membuat keputusan untuk membenarkan penyokong hadir ke stadium bagi perlawanan persahabatan kelab-kelab yang mahu membuat persiapan menjelang perlawanan minggu ketiga Piala Malaysia pada 29 Oktober ini.

“Bagaimanapun kelab-kelab terlibat perlu memaklumkan terlebih dahulu kepada MFL dan wajib mematuhi SOP yang ditetapkan oleh MKN, KKM dan KBS bagi kemasukan penyokong ke stadium walaupun perlawanan itu hanya berstatus aksi persahabatan. Ini penting bagi memastikan kita bersama-sama menjaga SOP bagi mengelak sebarang insiden tidak diingini berlaku.

“SOP-SOP yang lengkap berkenaan penyokong masuk ke stadium bermula 29 Oktober 2021 akan diberikan kepada pasukan dalam tempoh terdekat,” katanya.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading