Antarabangsa

Perebutan trofi Liga Perdana Singapura dijangka sengit Ahad ini


Foto: Lion City Sailors

Oleh: JJFIRDAUS

MUSIM Liga Perdana Singapura sampai ke kemuncaknya pada Ahad ini dengan dua pasukan mampu bergelar juara sekaligus menempah tiket ke Liga Juara-Juara AFC musim hadapan.

Pasukan jemputan dari Jepun yang juga juara bertahan, Albirex Niigata serta pasukan yang dijenamakan semula, Lion City Sailors kini hanya dipisahkan oleh satu kemenangan sahaja untuk bergelar juara.

Tambah menarik, jika Lion City Sailors berjaya menjadi juara, kejuaraan liga akan kembali kepada kelab tempatan selepas kali terakhir Warriors FC memenangi liga pada tahun 2014.

Sejak musim 2015, kejuaraan liga menjadi milik kelab jemputan sama ada Albirex Niigata atau kelab Brunei Darussalam, DPMM FC dengan kelab tempatan sekadar berpuas hati di tangga kedua.

Mengikut peraturan FIFA dan AFC, kelab jemputan tidak akan menerima tiket automatik ke kejohanan kelab Asia dan kelab tempatan di tangga kedua yang menggantikan tempat mereka sekaligus dilihat bergelut dalam kejohanan Asia.

Kini Lion City Sailors yang dahulu dikenali sebagai Home United mampu melakar sejarah tersendiri untuk muncul juara kali setelah melakukan transformasi dan penjenamaan semula pada musim 2020.

Hariss antara pemain penting Lion City Sailors. Foto: Lion City Sailors

Lion City Sailors yang dimiliki oleh ahli perniagaan bertaraf Billionaire, Forrest Li telah melakukan pelbagai perubahan dalam kelab dan mempunyai aspirasi untuk membangunkan pusat latihan yang canggih dan akademi mereka sendiri.

Dibarisi banyak pemain kebangsaan Singapura termasuk kapten dan bekas pemain JDT, Hariss Harun, Lion City Sailors dilihat mampu mengembalikan kegemilangan kelab Singapura yang dilihat semakin tenggelam dan berkurangan.

Pada perlawanan terakhir Ahad ini, Lion City Sailors akan berhadapan dengan Balestier
Khalsa manakala Albirex Niigata pula menentang Tanjong Pagar dengan kedua-dua kelab terikat dengan 45 mata tetapi hanya dibezakan oleh perbezaan jaringan.

Mampukah Lion City Sailors mengembalikan trofi Liga Perdana Singapura ke tangan kelab tempatan atau sekali lagi Albirex Niigata akan berbangga menjadi juara buat kali ke kelima dalam enam musim. Sama-sama kita saksikan.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading