Bola Sepak

“Kami cuba mengesan dia”, Shahrul Nizam ‘hilang’ tak berjawab


Shahrul Nizam tidak melaporkan diri pada hari pertama latihan Harimau Malaya, Jumaat. Foto: TFC

Oleh: SURYATI MOHD NOR

PENGENDALI Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mendedahkan pemain Terengganu FC Shahrul Nizam Ros Hasni gagal dihubungi selepas tidak melaporkan diri ke sesi latihan skuad kebangsaan pada Jumaat.

“Shahrul Nizam belum laporkan diri. Kami cuba mengesan dia melalui panggilan telefon, dia tidak jawab,” jelas Cheng Hoe dalam satu rakaman kepada media.

Selain itu, Cheng Hoe turut memberitahu terpaksa menggugurkan pemain Selangor FC, Sharul Nazeem Zulpakar selepas pengesahan kecederaannya.

“Sharul Nazeem mengalami kecederaan ‘hamstring’ dan kami terpaksa lepaskannya untuk bersama Selangor.

“Kami barisan jurulatih mengambil keputusan untuk kekalkan 22 orang pemain yang akan dibawa ke Jordan kerana kesuntukan masa untuk memanggil mana-mana pemain lain,” tambahnya yang akan berangkat ke Jordan pagi Jumaat.

Shahrul Nizam dan seorang lagi pemain Kedah Darul Aman (KDA FC), Muhammad Ariff Farhan Md Isa dipanggil menyertai kem latihan skuad kebangsaan bagi menggantikan Dion Cools (FC Midtjylland) dan Syahmi Safari (Selangor FC) yang mengalami kecederaan.

Dalam pada itu, Cheng Hoe mengakui perlawanan persahabatan bertemu Jordan dan Uzbekistan merupakan ujian terbaik kepada skuad ini.

“Pemain-pemain dapat pendedahan dan pengalaman yang baik kerana negara-negara kitu jauh lebih baik dari kita.

“Kita sudah memantau prestasi mereka dalam liga dan harap semua akan beri persembahan terbaik sebagai persediaan untuk Piala AFF dan Kelayakan Piala Asia,” ujarnya.

Harimau Malaya bakal bertemu pasukan di kedudukan ke-93 dunia, Jordan di Stadium King Abdullah II, Amman pada 6 Okt, jam 11 malam waktu Malaysia dan pasukan ke-84 dunia, Uzbekistan (ranking ke-84) pada pada 9 Oktober ini.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply to EKSKLUSIF: “Terkejut bila sampai darat”- Nijey Cancel reply

%d bloggers like this: