Bola Sepak

The Jangs selangkah ulangi memori 1991


Oleh : SUBKHI SUDARJI

SASARAN beraksi di pentas Liga Super 2022 kini sudah tercapai namun ada misi yang belum selesai yang kini terhidang buat Negeri Sembilan FC untuk bergelar selaku juara Liga Perdana 2021.

Sesuatu yang tidak dijangka bukan, jika musim lalu NSFC yang dikenali Negeri Sembilan FA menamatkan saingan di kedudukan kedua tercorot, namun segala-galanya kini berubah 360 darjah.

Kali terakhir skuad yang mendapat jolokan Sang Rusa dan Hoben Jang Hoben serta The Jangs menjulang kejuaraan Liga Perdana adalah pada 1991 apabila keputusan seri 2-2 ketika melayan kunjungan Sarawak.

Kejayaan diraih pada 18 Ogos 1991 itu menamatkan penantian 43 tahun menjulang kejuaraan buat julung kalinya dan kini detik gemilang itu kembali dengan Stadium Tunku Abdul Rahman, Paroi bakal menjadi saksi. 

Kemenangan 1-0 mengatasi SUFC sebelum ini memberikan peluang buat NSFC memimpin liga dengan kelebihan satu mata.

USAH PEDULIKAN PASUKAN LAIN

Hanya perlu kemenangan, itulah yang perlu dilakukan anak didik K Devan pada aksi teraksi saingan Liga Premier 2021 malam ini apabila berdepan PDRM FC.

Tentangan sengit pasti dijelmakan The Cops yang kini memburu kedudukan terbaik untuk menempatkan diri dalam saingan Piala Malaysia yang bakal berlangsung hujung minggu ini.

Dengan pencabar terdekat Sarawak United FC (SUFC) yang dibezakan satu mata dibelakang The Jangs bakal berkunjung di Stadium Larkin, Johor Bharu ia sudah tentu bukanlah tugas mudah buat barisan pemain E Elavarasan.

Namun jika NSFC dan SUFC tewas kepada lawan masing-masing dan Terengganu FC II meraih tiga mata menewaskan Kelantan United FC dengan jaringan besar, maka NSFC dan SUFC hanya mampu melihat TFC II  menjulang kejuaraan Liga Premier 2021.

AURA DILAMAN SENDIRI

Sebahagian kata-kata semangat diberikan penyokong sebagai tanda sokongan bagi memastikan kejuaraan mampu dijulang.

Walaupun beraksi tanpa kehadiran penyokong, rata-rata ketika ini khususnya peminat The Jangs ghairah melontarkan kata-kata semangat dan doa buat pasukan menerusi media sosial NSFC.

Bagi K Devan, skuadnya kini mempunyai peluang cerah untuk bergelar juara namun perlu sentiasa berwaspada pada aksi terakhir malam ini.

“Jika prestasi seumpama ini (menentang SUFC) dikekalkan, saya rasa tidak mustahil pasukan akan menamatkan saingan dengan gelaran kejuaraan,” tegasnya.

Keyakinan tinggi sama dilaungkan, Ketua pasukan, Zaquan Adha kembalinya bersama negeri kelahiran bukanlah sekadar memastikan pasukan beraksi di pentas Liga Super tetapi meraih gelaran kejuaraan.

“Apabila saya pulang ke Negeri Sembilan, saya memang berjanji pada diri sendiri yang saya balik bukan sekadar menghabiskan karier tetapi mahu berbakti kepada Negeri Sembilan.

“Disinilah saya mula bertapak bermain bola sepak, jika rezeki kita bergelar juara ini adalah kerjasama rakan-rakan dan pengurusan,” ujarnya.

 


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: