Bola Sepak

Jangan wujudkan budaya Mafia dalam Liga M – Subkhiddin


Beberapa pemain SUFC cuba menyerang pengadil perlawanan selepas berakhirnya aksi menentang NSFC, Jumaat.

Oleh : SUBKHI SUDARJI

JIKA sebelum ini kita hanya mentertawakan selain memperlekehkan dan disajikan dengan tontonan aksi pemain menyerang pengadil yang berlaku dalam liga bola sepak negara jiran kini budaya seumpama ini seakan-akan wujud dalam sainga Liga Malaysia (Liga-M).

Gagal mengawal emosi sehingga menjejaskan prestasi dengan amarah diterjemahkan kepada pengadil perlawanan dengan tolakan dan kata-kata kesat, sikap seumpama ini tidak seharusnya tidak berlaku dalam dunia bola sepak yang semakin moden ketika ini.

Namun insiden pengadil perlawanan, Mohd Kamil Zakaria Ismail yang diserang beberapa pemain Sarawak United FC selepas aksi berakhir dengan kemenangan 1-0 buat NSFC.

Bukan itu sahaja, malah Mohd Kamil yang dilindungi pembantu pengadil turut cuba diserang oleh barisan kejurulatihan Sarawak United di tepi padang.

Situasi ini mencerminkan segala-galanya, adakah budaya samseng atau kluster mafia perlu ada dalam saingan liga bola sepak tempatan dimana langkah drastik perlu diambil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Melihatkan situasi pemain menyerang pengadil perlawanan selepas saingan berakhir sudah tiba masanya peraturan yang lebih ketat dan berat dikenakan ke atas pemain sebagai pengajaran buat diri sendiri dan pemain lain.

Lantas bekas pengadil negara, Subkhiddin Mohd Salleh berkongsi pandangan bersama CAKAP SUKAN dengan menyarankan agar hukuman berat dan tegas dikenakan ke atas pemain yang didapati bersalah menyerang pengadil bagi memastikan tiada budaya mafia dalam bola sepak tempatan.

Tegasnya, jika sebelum ini seringkali pengadil dikenakan hukuman penggantungan selain diturunkan pangkat mengadili perlawanan sudah tiba masanya peraturan yang ketat dilaksanakan agar peristiwa sebegini tidak berulang lagi.

“Tindakan sekeras-kerasnya perlu diambil untuk berikan amaran kepada semua pemain lain jika mengulangi perkara yang sama, bukan sekadar bagi amaran dan denda, kalau kita sanggup hukum pengadil selama berbulan-bulan dan turunkan ke peringkat lebih bawah kenapa ia tidak dilaksanakan kepada pemain.

“Kita setuju pengadil dikenakan hukuman tetapi bagaimana pula pemain yang didapati bersalah menolak dan menyerang pengadil. Jika pemain import yang melakukannya, batalkan sahaja kontrak mereka. Kita tidak mahu budaya ganas dalam bola sepak Malaysia wujud.

“Pemain menyerang pengadil, sesuatu yang mengecewakan dan kita sudah nampak imej semakin ke bawah” katanya kepada Cakap Sukan.

Salah seorang pemain SUFC, S Veenod  cuba menenangkan staf kejurulatihan selepas tamat perlawanan.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas insiden serangan beberapa pemain serta kejurulatihan SUFC terhadap pengadil perlawanan Mohamad Kamil Zakaria Ismail selepas tamat perlawanan menentang Negeri Sembilan FC, malam tadi.

Pada masa sama, bekas Pengadil Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Pengerusi Jawatankuasa Pengadil, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) itu melihat Mohamad Kamil Zakaria Ismail berjaya menjalankan tugasnya selaku pengadil perlawanan membabitkan Sarawak United FC dan Negeri Sembilan FC mengikut peratutan.

Jelasnya, berdasarkan rakaman video yang dilihat, kekasaran yang dilakukan tindakan penjaga gawang SUFC, Mohd Sharbinee Allawee Ramli sememangnya tidak wajar dan lebih kepada membahayakan pemain lawan.

“Aksi dipamerkan Sharbinee umpama kungfu, sudah lama kita tak tengok perkara ini, jadi tindakan layangan kad merah pengadil keatasnya adalah tepat.

“Tidak banyak kesalahan yang dilakukannya dan bagi saya ia adalah tindakan tepat,” tambahnya.

 


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading