Bola Sepak

“Kita sepatutnya rai 100 tahun bola sepak Perak”, Azman mohon maaf


Azman Noh

SELEPAS sah tersingkir daripada saingan Liga Super musim ini, Perak FC tampil memohon maaf kepada penyokong dan peminat bola sepak kelab itu.

Menurut Pengurus Besar Perak FC, Azman Noh, dia telah cuba melakukan sebaik mungkin untuk pertahankan rekod sebagai satu-satunya pasukan yang belum pernah jatuh dari Liga Super sejak diperkenalkan pada tahun 2004.

“Bagaimana pun saya mengakui di sebalik usaha bersungguh-sungguh yang dilakukan dalam masa yang singkat, masih terdapat kelemahan yang perlu diperbaiki.

“Peristiwa yang terpahat dalam sejarah Perak FC ini membawa 1001 makna kepada pasukan, paling mustahak ia merupakan pengajaran bermakna untuk kita bangkit,” jelasnya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Penyokong-penyokong The Bos Gaurus diharap sentiasa bersama pasukan.

Tambah Azman, proses untuk bangkit akan bermula dari sekarang dengan meletakkan sasaran Juara Liga Perdana musim depan.

“Proses penswastaan sepenuhnya juga akan dilakukan dan Perak FC akan membentangkan hala tuju pasukan dengan terperinci untuk jangka pendek dan panjang dalam tempoh terdekat.”

Dalam pada itu, Azman mengakui memahami denyut nadi penyokong dan peminat bola sepak yang terus setia ketika susah dan senang, kalah dan menang.

“Ketika penyokong dan peminat kecewa kerana kita sepatutnya meraikan 100 tahun bola sepak Perak, Perak FC turut sama merasai kekecewaan dan kesedihan itu.

“Ayuh kita sama-sama bangkit dengan lebih bergaya dan ini bukan pengakhiran. Terima kasih kepada semua pihak, terutamanya penyokong dan peminat serta tidak lupa kepada kerajaan Negeri Perak yang begitu banyak membantu walaupun sedang bertungkus-lumus memerangi wabak Covid-19,” ujarnya.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading