Paralimpik Tokyo 2020

“Harap kerajaan pertimbang ganjaran untuk Ziyad” – CDM


Megat D. Shahriman

Oleh: SUBKHI SUDARJI

MAJLIS Paralimpik Malaysia (MPM) akan membawa keputusan penarikan semula pingat emas yang dimenangi oleh Ziyad Zolkefli menerusi acara lontar peluru F20 ke Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) dan World Para Athletic (WPA) sejurus berakhir temasya Paralimpik Tokyo 2020.

Ketuan Kontinjen Malaysia, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata, usaha ini hanya boleh dilakukan selepas berakhirnya temasya Paralimpik Tokyo 2020.

“MPM juga sedang berusaha untuk mendapatkan salinan rakaman CCTV di Bilik Panggilan (Call Room) dan kawasan menunggu Stadium Olimpik Tokyo untuk mendapatkan gambaran dan masa sebenar insiden bagi tujuan bahan bukti untuk meneruskan tindakan selanjutnya.

“Pada mesyuarat CDM pagi tadi sebagai usaha tambahan saya sudah menerangkan situasi yang berlaku kepada Ziyad di hadapan Jawatankuasa Penganjur dan ketua kontinjen negara yang bertanding sebagai mempertahankan kemenangan itu.

“Namun, pihak Jawatankuasa Penganjur memaklumkan segala protes dan rayuan boleh dibuat secara bertulis kepada Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa dan World Para Athletic,” katanya pada sidang media secara maya, Rabu.

Ziyad dilaporkan tenang menerima keputusan pembatalan pingat emasnya.

Pada masa sama, Megat D Shahriman memohon pertimbangan kerajaan agar dapat memberikan ganjaran sewajarnya atau yang bersesuaian atas jasa dan pencapaian luar biasa Ziyad pada temasya Paralimpik Tokyo 2020.

Tambahnya lagi, beliau juga telah menemui Ziyad dan terlebih dulu memaklumkan hasil daripada mesyuarat CDM pagi tadi.

“Alhamdulillah Ziyad dilihat berlapang dada dengan keputusan tersebut.

“Buat atlet negara yang masih berjuang diharap meneruskan fokus kepada acara masing-masing. Misi kita di Tokyo belum selesai dan kami memohon doa daripada seluruh rakyat Malaysia,” katanya.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading