Bola Sepak Komentar

Tunku Ismail adalah ‘pemasaran’ Liga Malaysia


Tunku Ismail Sultan Ibrahim

Oleh: MOHD FARIQ

SEBENARNYA ada sesuatu yang sedikit meresahkan dan menganggu fikiran penulis.

Kebimbangan penulis tersentak selepas membaca entri laman media sosial milik Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim seakan-akan membayangkan telah bersedia untuk bersara dari dunia bola sepak tempatan.

Umum mengetahui bahawa Johor Darul Ta’zim (JDT) semakin hampir untuk merangkul kejuaraan Liga Super buat kali kelapan berturut-turut dan entri TMJ bagaikan memberi satu petanda besar bukan sahaja kepada pasukan Harimau Selatan sebaliknya kesan kepada bola sepak negara.

Sejujurnya, membayangkan dunia bola sepak Malaysia tanpa kehadiran Tunku Ismail adalah perkara yang tidak pernah berlaku dalam pemikiran penulis.

Suka atau tidak bagi penyokong-penyokong lain, bola sepak khususnya Liga Malaysia itu sendiri berubah menjadi lebih kompetitif dan konkurensi lebih menarik sejak Tunku Ismail menjadi pemilik kepada JDT bermula tahun 2013.

Atau lebih tepat, Tunku Ismail sebenarnya simbol pemasaran Liga Malaysia itu sendiri dengan apa jua baginda lakukan terutama perubahan persatuan (FA) kepada kelab bola sepak (FC), secara tidak langsung tempiasnya terpalit kepada sistem liga negara kita sendiri.

Inilah perubahan yang kita kena akui betapa positifnya menyaksikan pendidikan bola sepak kadang-kadang tidak hadir melalui silibus semata-mata sebaliknya menunjukkan sampel kepada ‘audiences’.

Apa yang nyata, tidak semua menyukai apa yang dilakukan oleh Tunku Ismail dengan transformasi skuad Harimau Selatan berubah 360 darjah menjadi kelab paling berjaya dalam sejarah bola sepak Malaysia.

Ada juga yang mengatakan kuasa wang yang dimiliki Tunku Ismail menjadi elemen utama dalam resepi kejayaan JDT pada masa kini.

Tetapi jawapan penulis adalah tidak. Ini kerana untuk menyimpulkan koleksi kejayaan Tunku Ismail bukanlah kuasa wang semata-mata sebaliknya secara peribadi penulis optimis visi dan misinya adalah faktor paling penting mengapa skuad Harimau Selatan bangkit menjadi salah satu kuasa gergasi di Asia Tenggara.

Jika kita melihat rekod yang dicapai oleh Tunku Ismail,  jelas membuktikan sesuatu bahawa beliau bukan sahaja memiliki keseimbangan pemikiran sebaliknya juga realistik terhadap setiap sasaran dan jelas formula yang dilakukannya belum pernah dilakukan oleh mana-mana pemilik kelab bola sepak pada masa kini.

Ini kerana penulis telah menyaksikan Tunku Ismail melaksanakan lima elemen penting dalam perjalanan sesebuah kelab bola sepak bermula kos operasi, pemacu hasil pendapatan, penajaan, kerjasama dan ‘orang’ yang ditakrifkan orang yang memiliki jiwa, tanggungjawab serta keghairahan dalam sukan bola sepak.

JDT pakar pemecah rekod bola sepak tempatan 

Ramai orang lupa dengan kesulitan yang ditempuhi oleh Tunku Ismail ketika menjadi pemilik JDT pada tahun pertama.

Tunku Ismail bukanlah sempurna di mana juga ada pernah melakukan kesilapan dan ia adalah lumrah kita sebagai manusia biasa.

Namun TMJ sentiasa belajari tidak mengulangi kesilapan dan sentiasa memastikan JDT bergerak dalam landasan global, bukannya semata-mata mahu menjadi jaguh domestik sahaja.

Fasiliti latihan yang lengkap dan selesa di JDT. Foto: JDT

Inilah yang membezakan Tunku Ismail dengan orang lain di mana beliau memanipulasikan kesulitan itu bertukar menjadi titik kebangkitan skuad Harimau Selatan.

Sedar atau tidak, pasukan JDT memiliki aura tersendiri apabila penyokong-penyokong bukan sahaja di kalangan negeri Johor, tetapi di seluruh Malaysia yang rata-rata teruja untuk melihat lebih dekat pemain-pemain setiap kali bermain di tempat lawan.

Ramai orang berminat bercakap mengenai siri kejayaan-kejayaan JDT dalam Liga Malaysia seperti juara Liga Super tujuh berturut-turut, johan Piala AFC dan mengambil semua trofi domestik seperti Piala Sumbangsih, Piala FA serta Piala Malaysia

Sebenarnya apa mesej tersirat yang disampaikan oleh Tunku Ismail adalah progresif sesebuah kelab bola sepak sepatutnya bergerak seiring dengan pembangunan fasiliti.

Apa yang menarik, dengan memiliki empat buah stadium, Tunku Ismail tidak ‘kedekut’ meminjamkan salah sebuah venuenya, Stadium Pasir Gudang untuk digunakan sebagai ‘home’ bagi pasukan Kuching FC.

Stadium yang berkelas dunia. Foto: JDT

Inilah yang membezakan JDT dengan kelab-kelab lain di mana visi dan misi Tunku Ismail sentiasa meletakkan skuad Harimau Selatan dalam kelas tersendiri sebagaimana TMJ sentiasa menitikberatkan fasiliti-fasiliti terbaik bertaraf dunia buat barisan pemain dan pegawai.

Ini kerana dalam resepi membentuk pemain terbaik, kamu juga memerlukan kepakaran di mana TMJ memastikan kemudahan fasiliti ini menjadi yang pertama di Asia Tenggara iaitu Pusat Medikal dan Kecergasan JDT dengan menempatkan para doktor dan pakar fisioterapis sepenuh masa.

Pusat Medikal dan Kecergasan ini juga dilengkapi dengan ‘juice bar’ untuk minuman dan makanan sihat, dua mesin baharu ‘Infrared Sauna’, ‘Functional Trainers’, ‘Smith Machines’ dan peralatan medikal seperti mesin ‘Echocardiogram’ dan alatan untuk terapi asid Hyaluronic dan ‘platelet-rich plasma’.

Hab ini juga turut mempunyai ‘indoor running surface’ yang diperbuat daripada ‘high-density polyethylene’ dan diperkukuh dengan getah untuk mengurangkan impak kepada sendi.

Semua peralatan ini adalah tambahan kepada mesin terapi oksigen dan hidrogen serta pelbagai lagi peralatan gimnasium dan medikal yang sudah dibeli pada tahun-tahun sebelum ini.

Sekali lagi penulis melihat Tunku Ismail memaksa JDT keluar dari ‘kepompong’ dunia bola sepak Malaysia yang sebelum ini kebanyakan lebih menumpukan baikpulih stadium, padang atau pemburuan pemain import semata-mata.

Kata pepatah, kalau takut ombak jangan sesekali berumah di tepi pantai dan jelas Tunku Ismail telah membuktikan kejayaannya daripada setiap aspek sudut.

Hanya di JDT.

Akhir kata daripada penulis, bersama penyokong-penyokong bola sepak berharap agar Tunku Ismail dapat mengubah fikiran daripada bersara awal di pentas bola sepak negara mahu pun antarabangsa.

Ini kerana kami semua yakin dengan kebolehan Tunku Ismail akan terus mengangkat nilai Malaysia dalam peta bola sepak dunia khususnya Asia.

Siapa tahu mungkin JDT yang di bawah kepimpinan Tunku Ismail suatu hari nanti dapat memintas rekod kelab Vanuatu, Tafea FC yang muncul menjadi kelab pertama dalam dunia menjuarai kejuaraan liga sebanyak 15 kali berturut-turut bermula 1994 sehingga 2007.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading