Bola Sepak

Perak FC masih enggan kibar bendera putih


Pertahanan Perak FC, cuba mengekang pergerakan penyerang import JDT, Bergson.

Oleh : SUBKHI SUDARJI

PERAK FC masih enggan mengibarkan bendera putih dalam perebutan slot Liga Super 2022 dengan meletakkan sasaran perlu memenangi kesemua baki saingan musim ini.

Pengendalinya, Chong Yee Fatt menyifatkan semua ini bergantung pada pasukan dan bukannya keputusan pasukan lain.

“Melihat situasi kedudukan ketika ini, kami perlu beraksi umpama final dengan kesemua pasukan selepas ini. Kami tidak boleh harapkan keputusan pasukan lain tetapi diri sendiri.

“Saya tetap yakin kami akan kekal dalam saingan Liga Super musim depan,” jelasnya pada sidang media selepas perlawanan malam tadi.

Selepas dibelasah 0-4 di Kuala Terengganu, Perak FC meraih sedikit keyakinan apabila berjaya mengikat Kuala Lumpur City FC dilaman sendiri sebelum derita mereka kembali berulang apabila kecundang dengan jaringan 0-5 kepada peneraju Liga Super musim ini, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Mengulas aksi yang dijelmakan anak didiknya, Yee Fatt mengakui pemainnya gagal beraksi secara normal selepas tuan rumah menjaringkan gol pertama.

“Lawan memiliki kelebihan kualiti individu dan juga pasukan, ini pengalaman buat pemain yang rata-rata masih muda.

“Tahniah buat JDT yang nyata berbeza dan sebab itu mereka berada di puncak liga,” tegasnya.

Perak FC kini antara dua pasukan yang menghuni kelompok dua terbawah bersama UiTM FC dimana skuad bimbingan Yee Fatt hanya meraih 13 mata selepas 16 perlawanan dengan hanya tiga kemenangan, empat seri dan sembilan kekalahan.

Berbaki lima perlawanan terakhir mereka seharusnya meraih kemenangan untuk menyelamatkan dari beraksi dalam saingan Liga Premier 2022.

Perak FC lwn Penang FC ( 3 Ogos 2021 / Std Perak, Ipoh)

UiTM FC lwn Perak FC (8 Ogos 2021 / Std UiTM Shah Alam)

Perak FC lwn Selangor FC (14 Ogos 2021 / Std Perak, Ipoh)

KDA FC lwn Perak FC ( 17 Ogos 2021 / Std Darul Aman, Kedah)

MUFC lwn Perak FC ( 21 Ogos 2021 / Std Hang Jebat, Melaka)


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading