Bola Sepak

“Pasukan kita agak ketinggalan”, Jacob latih skuad bola sepak wanita secara ‘online’


Jurulatih Jacob bakal menggunakan ramai pemain muda menjelang saingan Kelayakan Piala Asia Wanita 2022 September ini.

Oleh: SURYATI MOHD NOR

PENGENDALI skuad bola sepak wanita negara, Jacob Joseph mempunyai masa agak terhad untuk menyiapkan pasukan menjelang saingan Kelayakan Piala Asia Wanita 2022 yang akan berlangsung pada 19-25 September ini.

Menurut Jacob yang juga merupakan Pengarah Teknikal Bola Sepak Wanita FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) pusingan kelayakan ini dimaklumkan lebih kurang dua minggu lalu sebaik sahaja undian kumpulan 28 pasukan dibuat oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

“Esok (Jumaat) pemain-pemain yang dipanggil akan menjalani latihan secara atas talian. Kemungkinan tidak semua yang dapat sertai memandangkan rata-rata pemain dari Sabah berdepan dengan masalah teknikal di kawasan pedalaman.

“Saya terpaksa mengambil langkah menjalani latihan secara ‘online’ memandangkan kita dalam tempoh PKPD (Perintah Kawalan Diperketatkan) dan masa yang sangat terhad.

“Untuk mengumpul pemain juga satu masalah kepada saya memandangkan kali terakhir kami bersama pada tahun 2019 untuk aksi Sukan SEA di Filipina dan  Kejuaraan Wanita AFF 2019.

“Hampir dua tahun tidak berlatih, tidak ada perlawanan atau bermain bola,” jelasnya kepada CakapSukan.

Kali terakhir pasukan bola sepak wanita berkumpul pada Sukan SEA 2019 Filipina. Foto: FAM

Tambah Jacob lagi, dia akan turun ke Sabah pada 23-28 Julai ini untuk menjalani pemilihan pemain-pemain.

“Majoriti pemain adalah dari Sabah sramai 26 orang, tetapi saya hanya akan memilih 12 orang untuk dibawa ke latihan pusat tertutup di Majlis Sukan Negara (MSN) pada Ogos nanti. Selebihnya (13 orang) adalah pemain yang berada di Semenanjung.

“Jumlah pemain yang akan dipanggil 25 orang termasuk lima atau enam orang pemain senior dan yang lain-lain adalah pemain muda Bawah 21 Tahun.

“Jujur saya katakan saingan kelayakan ini hanyalah sebagai pendedahan skuad negara memandangkan kita adalah pasukan baharu jika dibandingkan dengan dua lagi pasukan lawan nanti (Thailand dan Palestin).

“Saya juga persiapkan pasukan ini untuk Sukan SEA Vietnam hujung tahun ini (jika tidak ditangguhkan),” jelasnya.

Malaysia diundi bersama berada dalam Kumpulan H bersama Thailand dan Palestin.

“Kita tahu kekuatan pasukan Thailand macam mana. Mereka pernah menewaskan kita dengan jaringan besar sebelum ini dan kita tidak pernah menang.

“Manakala pasukan Palestin pula saya tidak tahu perkembangan terbaharu mereka. Tetapi apa yang pasti, walaupun negara mereka berdepan dengan peperangan, Palestin mempunyai 12 kelab bola sepak wanita yang bermain dalam liga. Cuma dua tiga tahun ini hanya ada enam kelab sahaja yang aktif,” tambahnya.

Pada saingan kelayakan ini 12 pasukan terbaik daripada 28 negara akan beraksi di pentas akhir Piala Asia Wanita 2022 yang bakal berlangsung di India pada 20 Januari hingga 6 Februari 2022.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply to Bola sepak wanita: Mengkritik jangan sampai menghinaCancel reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading