Badminton Terkini

Terbuka Austria: Wan Arif-Haikal, Anna-Cheng Wen mara ke separuh akhir


 

Wan Arif-Haikal tampil cemerlang di Terbuka Austria.

WAN Arif Junaidi-Haikal Nazri melangkah ke separuh akhir pertama mereka di pentas senior antarabangsa selepas memastikan tempat di kejohanan badminton Terbuka Austria, awal pagi ini waktu Malaysia.

Gandingan muda negara ini bangkit daripada kekalahan set pertama 18-21, untuk menang dua set berikutnya 21-19, 21-12 ke atas Emil Lauritzen-Mads Vestergaard dari Denmark di suku akhir.

Kejayaan ini membolehkan mereka yang dinaikkan ke skuad senior negara awal tahun ini, memperbaiki pencapaian mara ke suku akhir di Kejohanan Antarabangsa Slovenia minggu lalu.

Mereka kini akan berdepan satu lagi pasangan Denmark, Mads Pieler Kolding-Frederik Sogaard untuk mencari tempat ke final.

Gandingan Denmark itu mara selepas mengecewakan satu lagi pasangan negara, Chang Yee Jun-Chia Weijie dengan kemenangan 22-20, 21-15.

Peringkat separuh akhir akan bermula pukul 4 petang waktu Malaysia manakala final diadakan pada sebelah malam.

Bagi acara beregu wanita, Anna Cheong-Yap Cheng Wen turut menempah tiket ke separuh akhir selepas mengalahkan Dominika Kwasnik-Kornelia Marczak dari Poland 21-13, 21-13.

Kemenangan itu membolehkan mereka menentang pasangan Sepanyol, Clara Azurmendi-Beatriz Corrales bagi penentuan tiket ke final.

Terdahulu, Azurmendi-Corrales menyekat laluan juara Kejohanan Antarabangsa Slovenia, Low Yeen Yuan-Valeree Siow selepas menang ke atas pasangan negara, 22-20, 21-11.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading