Badminton Terkini

Terbuka Austria: Empat pasangan beregu negara tempah tiket ke suku akhir


Wan Arif dan Haikal (kiri) turut mara ke aksi suku akhir Terbuka Austria.

 

GANDINGAN Pantai Timur, Wan Arif Junaidi-Haikal Nazri mengesahkan tiket ke suku akhir kejohanan badminton Terbuka Austria selepas menjinakkan pilihan ketiga, Fabian Delrue-William Villeger dari Perancis.

Kemenangan 21-19, 21-16 dalam masa 32 minit di pusingan kedua itu, membolehkan mereka menyamai pencapaian ke suku akhir Kejohanan Antarabangsa Slovenia, minggu lalu yang juga aksi pentas sênior pertama mereka.

Wan Arif-Haikal, masing-masing dari Terengganu dan Kelantan kini akan berdepan Emil Lauritzen-Mads Vestergaard dari Denmark, untuk mencari tiket ke separuh akhir.

Turut mengiringi mereka ke suku akhir adalah Chang Yee Jun -Chia Weijie yang bangkit untuk menewaskan Andreas Sondegaard-Jesper Toft dari Denmark 20-22, 21-12, 21-18 dalam pertarungan selama 51 minit.

Selain itu,  pasangan beregu wanita negara Low Yeen Yuan-Valeree Siow terus mempamerkan aksi cemerlang dengan memastikan tempat ke suku akhir selepas menundukkan pilihan ketiga, Alzbeta Basova-Michaela Fuchsova dari Republik Czech 21-14, 21-15 di pusingan kedua dalam masa 30 minit.

Kejayaan ini turut membuktikan kemenangan ke atas lawan sama di Slovenia di pusingan suku akhir minggu lalu, bukan sekadar nasib, apabila mengulanginya sekali lagi.

Pada aksi suku akhir nanti, mereka akan berdepan pasangan Sepanyol, Clara Azurmendi-Beatriz Corrales yang mara selepas menundukkan wakil tuan rumah, Nina Almer-Martina Nost 21-9, 21-8.

Dalam pada itu, turut mengiringi mereka ke suku akhir adalah Anna Cheong-Yap Cheng Wen yang mengejutkan pilihan kedua yang juga wakil tuan rumah, Serena Au Yeong-Katharina Hochmeir.

Namun nasib berbeza dialami pasangan kembar, Cheng Su Hui-Cheng Su Yin apabila mengakhiri cabaran mereka selepas tewas kepada pilihan keempat, Aline Muller-Jenjira Stadelmann dari Switzerland 13-21, 20-22.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading