Olahraga

Bekas atlet olahraga Sukan Asia kritikal, “Doakan yang baik-baik buat Rajemah”


Rajemah merupakan pemegang pingat gangsa acara 4×100 meter Sukan Asia 1966 di Bangkok.

 

Oleh: SURYATI MOHD NOR

BEKAS jaguh atlet olahraga negara, Rajemah Sheikh Ahmad kini bertarung nyawa berdepan dengan penyakit kanser pankreas tahap akhir.

Rajemah,77, merupakan atlet olahraga tanah air yang terkenal suatu ketika dahulu berikutan pencapaiannya selepas meraih pingat gangsa dalam acara 4×100 pada Sukan Asia pada 1966 di Bangkok.

Adiknya, Sheikh Kamaruddin Sheikh Ahmad memberitahu Rajemah kini sudah dibawa pulang ke rumah (Terengganu) selepas mendapat rawatan di hospital.

“Hampir setahun lebih kakak saya bertarung dengan penyakit ini.

“Keadaannya sekarang agak kritikal, tak boleh makan malah badannya juga semakin kurus. Doakan agar dia terus kuat,” ujar Sheikh Kamaruddin kepada CakapSukan.

Sheikh Kamaruddin merupakan bekas pengerusi Lembaga Kejurulatihan Kebangsaan sebelum ini.

Dalam pada itu Pakar Bedah Perunding dan Pakar Bedah Hati, Pankreas dan Hempedu Hospital Pakar Kuala Terengganu (KTSH) Dr Hasnan Muhammad Noor, memberitahu Rajemah sedang dalam rawatan susulan di Klinik HPKT dan berdepan dengan kanser peringkat akhir.

“Pesakit hanya mendapatkan rawatan paliatif di Hospital KTS disebabkan beliau sebagai pesakit kanser pankreas tahap 4 (tahap akhir) yang tiada rawatan khusus, hanya menunggu masa-masa akhir.

“Beliau memerlukan sokongan daripada ahli keluarga untuk hadir disaat beliau tenat melawan kanser tersebut.”

Selepas bersara sebagai atlet, Rajemah terus aktif dalam sukan olahraga sebagai pengurus pasukan Sukan SEA serta memegang jawatan sebagai Naib Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) 2019.

Rajemah merupakan isteri kepada Olimpian negara, Allahyarham Kamaruddin Maidin yang meninggal dunia 2009 pada usia 66 tahun paru-paru kronik.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading