Antarabangsa Bola Sepak Semasa Terkini

Ketepikan sentimen, Berjuanglah demi satu lencana

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Luqman Hakim menjalani Ujian Rapid Antigen setibanya mereka di hotel penginapan pasukan di Johor Bahru, Johor.

 

Oleh MOHD FARIQ

BANYAK insiden terutama babak ‘panas’ yang telah berlaku sepanjang lima perlawanan Liga Malaysia setakat ini.

Mutu pengadilan menjadi pertikaikan dan pergaduhan di antara pemain menjadi subjek utama bahan bualan sesama peminat.

Belum lagi ulas panjang menyentuh isu Thomas Dooley yang menjadi jurulatih pertama yang ‘direhatkan’ pada musim ini.

Suka atau tidak, inilah adegan-adegan yang senonim dengan Liga Malaysia dan penyokong-penyokong tidak akan sesekali berganjak untuk memberikan sokongan penuh kepada bola sepak tempatan.

Namun, kesemua itu harus diketepikan sementara di mana fokus sepenuhnya kepada pasukan kebangsaan yang sedang giat persiapan bagi kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023.

Senang cerita, tutup buku dahulu cerita berkaitan dengan Liga Malaysia dan kita alih tumpuan kepada skuad Harimau Malaysia.

Harus diingat agenda nasional sentiasa menjadi keutamaan dan harapan penulis bersama penyokong-penyokong mahu melihat barisan pemain Harimau Malaya terus kekal berdisiplin, etika dan profesional sepanjang menyarungkan jersi pasukan negara.

SELAMAT KEMBALI HARIMAU MALAYA

Penantian sudah berakhir.

Inilah detik-detik yang ditunggu rakyat selepas skuad Harimau Malaya akhirnya kembali dapat dikumpulkan buat pertama kali selepas 16 bulan lalu.

Pasukan bimbingan Tan Cheng Hoe bakal mengadakan kem latihan pusat selama sembilan hari di Johor Bahru, Johor bermula hari ini (Isnin) hingga 30 Mac 2021.

Secara peribadi, penulis sangat gembira apabila pasukan kebangsaan akhirnya diberikan kebenaran untuk mengadakan kem latihan pusat ini di mana ia menjadi persiapan cukup penting dalam menghadapi baki tiga perlawanan terakhir Kumpulan G bagi Pusingan 2, Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di UAE, Jun nanti.

Pertama, penulis mahu mengucapkan terima kasih kepada pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim di atas kesudian baginda merestui pasukan kebangsaan berkongsi kemudahan pusat latihan yang paling moden dan canggih di Asia Tenggara.

Secara tidak langsung, penulis percaya bahawa kem latihan ini bukan sahaja bakal dimanfaatkan skuad Harimau Malaya yang bakal menikmati kemudahan bertaraf dunia sebaliknya ia juga bakal menjadi pembakar semangat buat pasukan kebangsaan untuk meneruskan sesi latihan sepanjang berada di JDT.

Harapan penulis adalah mahu melihat kem latihan pusat ini berjalan lancar seperti yang dirancang Cheng Hoe di mana pemain akan dapat meningkatkan lagi persefahaman dan kombinasi serta meningkatkan tahap dan corak permainan pasukan dalam misi mencatatkan kejayaan ketika menentang UAE, Vietnam dan Thailand pada Jun nanti.

Tan Cheng Hoe

 

HARIMAU MALAYA HARUS SELESAIKAN MASALAH LESU

Berdasarkan pemerhatian penulis membuat liputan Liga Malaysia musim ini, masalah kecergasan sedikit sebanyak menganggu fikiran penulis.

Masakan tidak, penulis melihat sebahagian besar pemain-pemain dilihat berdepan kepenatan dan kecederaan ketika permainan memasuki tempoh 60 minit ke atas.

Ini jelas petanda yang tidak baik khusus kepada Cheng Hoe dalam persiapkan pasukan negara.

Berdasarkan perlawanan pasukan lawan, penulis melihat Thailand memiliki masa bermain lebih banyak pada tahun lalu sebagaimana mereka berjaya menamatkan liga dengan 28 perlawanan.

Diikuti UAE (19 perlawanan), Vietnam (13 perlawanan), Malaysia (11 perlawanan) dan Indonesia hanya bermain 3 perlawanan sebagaimana mereka bertindak membatalkan liga mereka ekoran pandemik Covid-19 pada 16 Mac tahun lalu sebelum mengesahkan tiada kejohanan domestik Indonesia berlangsung pada 20 Januari lalu.

Indonesia mungkin sudah kibar bendera putih apabila peluang mereka untuk layak sudah tertutup apabila menduduki tangga tercorot Kumpulan G selepas tidak mengutip sebarang mata sepanjang lima perlawanan.

Namun persaingan sengit berlaku di antara pendahulu, Vietnam yang memiliki kelebihan 11 mata diikuti Malaysia (9 mata), Thailand (8 mata) dan UAE yang masih kekurangan satu perlawanan telah mendapatkan 6 mata.

Melihat situasi itu, ia jelas tidak memihak kepada Harimau Malaya dan Cheng Hoe harus mencari formula terbaik untuk mengembalikan tahap kecergasan di mana ia akan menjadi penentu ketika bertemu UAE nanti.

Namun harapan penulis adalah mahu memastikan barisan pemain memanfaatkan kem latihan pusat ini kerana kita semakin hampir untuk bermain di pentas Piala Asia 2023.

Seperti penulis katakan awal sebelum ini, penulis percaya Harimau Malaya mampu melakarkan kejayaan jika kita semua berjaya ketepikan sentimen dan terus berusaha keras dalam misi mengembalikan keupayaan sebenar pasukan negara.

Akhir kata daripada penulis, alang-alang mandi biarlah basah dan alang-alang sudah sampai ke tahap ini biarlah kita berjuang sampai keluar berdarah.

Demi lencana di dada.


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: