Bola Sepak Terkini

KBS dan MEDAC sediakan RM20 juta bantu pemain industri sukan


Reezal Merican (kiri) bersama Mas Ermieyati pada majlis perasmian Skim Pembiayaan Industri Sukan.

PEMAIN industri sukan yang terkesan susulan pandemik Covid-19 kini boleh mengukir senyuman apabila Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) melancarkan Skim Pembiayaan Industri Sukan dengan peruntukan sebanyak RM20 juta.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, skim berkenaan dijangka dapat memberi manfaat kepada 4,307 usahawan industri sukan dan rekreasi membabitkan pengusaha, operator fasiliti sukan dan premis yang berdaftar di bawah sistem ‘Covid-19 Intelligent Management System (CIMS 3.0) yang dibangunkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Katanya, skim yang dilaksanakan bersama Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional) dan Bank Rakyat itu mampu mewujudkan sinergi dalam aspek pembiayaan mudah bagi pengusaha dan operator fasiliti sukan pasca Covid-19.

“Skim ini dapat membantu pemain industri yang terjejas untuk bangkit semula seterusnya memperkukuhkan semula perniagaan selaras dengan penerapan model norma baharu tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) sektor sukan dan rekreasi di bawah pengurusan pandemik Covid-19,” katanya ketika majlis pelancaran skim berkenaan, di Putrajaya.

Turut hadir pada pelancaran skim itu ialah Timbalan Menteri MEDAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Beliau berkata, dana sebanyak RM10 juta disalurkan kepada TEKUN Nasional dan RM10 juta kepada Bank Rakyat bagi membantu pengusaha industri sukan di negara ini khususnya yang terjejas teruk disebabkan pandemik Covid-19.

“Pemain dan usahawan industri sukan boleh membuat permohonan pembiayaan di antara jumlah minimum RM1,000 sehingga maksimum RM500,000 berdasarkan syarat-syarat ditetapkan.

“Skim Pembiayaan Industri Sukan melalui TEKUN Nasional adalah bagi usahawan yang mempunyai modal berbayar tidak melebihi RM300,000 sementara Bank Rakyat pula bagi usahawan yang mempunyai modal berbayar melebihi RM300,000.

“KBS akan menyediakan kaunter khas TEKUN dan Bank Rakyat di Menara KBS bagi sebarang pertanyaan serta menerima permohonan daripada para pemain industri yang kebanyakkannya mereka berurusan dengan kita.

“Sebarang maklumat lanjut, syarat dan cara permohonan skim itu dapat diakses melalui pautan www.tekun.gov.my serta www.irakyat.com.my.

 


Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading