Hoki Terkini

Perlu kemukakan surat bebas Covid 19


 

Subahan (empat,kanan) menerima cenderamata dari Pengurus Besar Pullman, Bangsar TK Lee pada majlis pengumuman Hotel Pullman Bangsar sebagai lokasi penginapan rasmi Gelembung kejohanan MHL 2021.

Oleh : Subkhi Sudarji / Foto : Mohd Izari Rosli

TIGA pemain pasukan Hoki Terengganu (THT) yang sebelum ini disahkan positif Covid-19 perlu mengemukakan surat pengesahan sudah bebas daripada virus terbabit dan cukup sihat untuk beraksi dalam saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) 2021.

Ketiga pemain berkenaan ialah penyerang negara, Faizal Saari, bekas pemain Tenaga Nasional (TNB) musim lalu, Shello Silverius dan penyerang muda berbakat, Abdul Khaliq Hamirin.

Presiden Kesatuan Hoki Malaysia (KHM) Datuk Seri Subahan Kamal berkata, mereka boleh bermain pada saingan liga namun dengan syarat perlu mengemukakan surat pengesahan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mengatakan mereka negatif daripada Covid-19.

“Selain daripada surat berkenaan, mereka tetap perlu menjalani pemeriksaan termasuk menjalani ujian calitan sebelum dibenarkan turun beraksi bersama pasukan.

“Saya juga dimaklumkan bahawa kemungkinan virus terbabit masih ada dalam badan pemain untuk tempoh sekurangnya dua bulan namun tidak akan menjangkiti individu lain,” katanya pada sidang media MHC 2021, sebentat tadi.

Mengulas kejohanan yang bakal berlangsung mulai 11 Mac dan berakhir 3 April nanti, Subahan menjelaskan semua pergerakan pemain dan pengurusan akan dikawal ketat bagi mengelak penularan pandemik Covid-19.

“Kawalan ketat itu adalah sebahagian daripada gelembung sukan dalam usaha memastikan tiada kluster liga hoki tercetus sepanjang tempoh saingan berlangsung.

“Pergerakan pemain, pegawai sukan, penganjur dan termasuklah pemandu bas turut perlu tinggal di hotel disediakan dan mereka tidak boleh keluar sesuka hati sekali gus memudahkan kita untuk mengawal mereka.

“Jika didapati ada yang melanggar arahan atau garis panduan ditetapkan kita akan lihat nanti apa yang boleh dibuat(tindakan) namun yang penting sekarang pastikan liga selamat,” jelasnya.

MHL akan membuka tirai perlawanan 11 Mac depan dengan penyertaan membabitkan lapan pasukan lelaki manakala enam pasukan untuk kategori wanita.

Saingan liga yang kali pertama berlangsung dalam situasi gelembung sukan akan diadakan dalam tempoh kira-kira sebulan dengan juara akan diketahui pada 3 April nanti.

 

 


Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading