Bola Sepak Terkini

Semua pasukan perlu patuhi arahan Kerajaan


SEMUA pasukan Liga Malaysia (Liga M) yang berada di zon Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika ini dilihat perlu berehat seketika daripada melakukan latihan dan persiapan pramusim bagi musim ini.

Walaupun ketika ini boleh dikatakan semua pasukan sedang melakukan persiapan terakhir dari segi latihan namun, Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Hamidin Mohd Amin menjelaskan semua pasukan perlu mematuhi setiap arahan atau prosedur operasi standard (SOP) seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Isnin lalu.

“Kalau kita lihat kejohanan kita belum ada lagi, kita jangka kejohanan seperti Liga Super dan Liga Perdana pada 26 Februari, tapi kita mengikut apa prosedur yang ditetapkan kerajaan semalam.

“Kita tiada pertandingan, hanya latihan. Tapi mereka (pasukan) perlu patuh untuk tidak melakukan latihan, maknanya mengikut prosedur PKP dan PKPB yang diumumkan,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif (Exco) kali ke-12 bagi penggal 2017-2021 di Wisma FAM.

Isnin lalu,  Muhyiddin mengumumkan enam negeri termasuk Pulau Pinang, Johor, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan), Melaka dan Sabah dikenakan PKP bermula hari ini hingga 26 Januari ini.

Negeri yang dikenakan PKPB pula termasuk Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Pada masa sama, Hamidin menjelaskan FAM  dan MFL sudah memiliki beberapa pilihan bagi melangsungkan kejohanan bola sepak dibawah kendalian masing-masing sekiranya situasi pandemik COVID-19 di negara ini masih belum reda.

“Terdapat kemungkinan juga saingan Liga M akan berlangsung dengan format sama seperti tahun lalu sekiranya situasi semasa COVID-19 berterusan.

“Sudah pasti kita akan sentiasa berhubung atau bermesyuarat dengan KBS (Kementerian Belia dan Sukan) untuk melihat perkembangan ini.

“Tetapi untuk tempoh dua minggu ini, kita kena patuh dan mengikut prosedur yang sudah diarahkan oleh kerajaan,” ujarnya.


Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading