Bola Sepak Terkini

Kem latihan pusat Harimau Malaya dibatalkan


 

Perancangan FAM untuk memanggil pemain menghadiri kem latihan pusat terpaksa dibatalkan ekoran pengumuman baharu PKP.

KEM latihan pusat skuad kebangsaan sebagai persiapan pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Vietnam, pada Mac depan yang sepatutnya berlangsung bermula pada Sabtu ini hingga 26 Januari terpaksa dibatalkan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam berkata, keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif (Exco) kali ke-12 bagi penggal 2017-2021 di Wisma FAM, hari ini.

“Dengan pengumuman yang dibuat Perdana Menteri semalam, FAM terpaksa membatalkan latihan pusat yang dijadualkan pada 16 hingga 25 Januari.

“FAM akan mencaturkan semula pergerakan pasukan kebangsaan ke arah perlawanan kelayakan Piala Dunia Mac nanti. Bila percaturan itu sudah lengkap, kami akan umumkan kemudian,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Stuart menjelaskan barisan Exco FAM turut bersetuju untuk menghantar skuad bawah 19  (B-19) tahun negara ke Sukan SEA Vietnam, hujung tahun ini.

“Skuad B-19 akan menyertai kejohanan Sukan SEA Vietnam 2021 dan juga akan menjadi skuad projek atau pasukan pembangunan kebangsaan ke arah (Sukan SEA) Kemboja 2023.

“Skuad B-19 juga akan dijadikan skuad didikan kepada (kejohanan) AFC B-22 yang akan dilangsungkan tahun ini dan juga kelayakan Olimpik 2024 di Paris,” katanya.


Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading