Gaya Hidup Permotoran Semasa Terkini

Hafizh masih belum serasi bersama jentera NTS

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Hafizh (kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas Nimroc Barbershop, Ardy Damis pada majlis pembukaan kedai gunting rambutnya di Ampang.

 

PELUMBA Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah berharap dapat mencari keserasian terbaik dengan jentera NTS pada sesi ujian rasmi Moto2 dan Moto3 musim 2021 yang bakal berlangsung di Litar Jerez, Sepanyol dari 16 hingga 18 Mac.

Pelumba berusia 26 tahun itu yang akan beraksi dengan pasukan NTS RM Racing GP pada saingan Moto2 musim depan, berkata dia bergelut menyesuaikan diri dengan jentera itu susulan hujan lebat ketika menjalani ujian sulung di litar sama pada bulan lalu menyaksikannya menduduki tangga ke-10 keseluruhan selepas melakukan 71 pusingan.

Hafizh Syahrin mengakui terdapat kelebihan dan kekurangan pada jentera berkenaan berbanding beberapa jentera lain termasuk Kalex, MV Augusta dan Speed Up yang digunakan pasukan Moto2 pada musim lalu.

“Sukar saya hendak bagi ulasan memandangkan ini tahun ketiga jentera NTS bersaing (dalam kelas Moto2 di Kejuaraan Motosikal Dunia), namun saya nampak jentera ini semakin baik bermula dengan GP Austria sehingga penghujung musim ini.

“Saya percaya jentera ini akan menjadi pencabar seperti Kalex dan Speed Up pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis perasmian kedai gunting rambut miliknya, Nimroc Barbershop di Taman Dagang, Ampang.

Dalam perkembangan sama, Hafizh Syahrin enggan meletakkan sasaran terlalu tinggi dalam penampilan sulung bersama pasukan berkenaan, namun menyifatkan kutipan mata pada setiap perlumbaan yang bakal disertainya merupakan satu bonus bagi dirinya.

Hafizh Syahrin menduduki tangga ke-21 dengan mengutip 21 mata daripada 15 perlumbaan yang disertainya ketika mewakili pasukan Aspar Team Moto2 musim ini.

 


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: