Antarabangsa Permotoran Terkini

KBS sedia bantu Karamjit kembali beraksi


Reezal Merican mendengar permasalahan dihadapi Karamjit.

PELUMBA rali negara, Karamjit Singh berharap dapat kembali bersaing pada Kejuaraan Rali Asia Pasifik (APRC) musim hadapan selepas mengambil keputusan untuk berhenti pada 2012 susulan kekangan kewangan yang dihadapinya.

Pelumba berusia 58 tahun itu berkata beliau sudah berjaya mendapatkan Proton Iriz yang telah diubah suai di England, namun masih memerlukan penajaan bagi menampung kos penukaran alat ganti, tiket kapal terbang dan penginapan sepanjang menyertai lapan pusingan perlumbaan APRC musim hadapan.

Olahragawan Kebangsaan 2002 yang dikenali dengan julukan ‘The Flying Sikh’ itu memaklumkan beliau memerlukan sekurang-kurangnya RM3 juta semusim untuk menampung kesemua kos berkenaan.

“Pada pertemuan dengan Menteri Belia dan Sukan (Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican) di Parlimen hari ini, beliau berjanji akan berusaha membantu saya mendapatkan penajaan (kewangan) untuk menyertai APRC tahun hadapan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Karamjit yang pernah menjuarai kategori pemandu APRC pada 2002 dan 2004 mendakwa beliau sudah mengeluarkan duit poket sendiri lebih RM1 juta, termasuk menjual tiga buah kereta miliknya selain menggunakan wang caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi menampung penglibatannya dalam APRC.

Sementara itu, menerusi laman rasmi Facebook Kementerian Belia dan Sukan, Menterinya Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican memberi komitmen akan membantu Karamjit supaya kembali beraksi semula.

“Saya faham ramai yang menzahirkan keprihatinan tentang juara rally dunia, Karamjit Singh. Saya sudah berjumpa dengan beliau dan mendengar situasinya ketika ini yang turut dihadiri Ketua Setiausaha KBS, Datuk M. Noor Azman Taib, Ketua Pengarah MSN, Dato’ Ahmad Shapawi Ismail,  Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif, CEO SIC dan Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB),Dato’ Noorul Ariffin Abdul Majeed.

“Insya-Allah saya dan KBS memberi komitmen sebaiknya agar kita semua dapat melihat jaguh rally Malaysia ini boleh beraksi semula,” ujarnya.

Kisah Karamjit sebelum ini tular di media sosial selepas beliau menjual kereta Proton Waja kesayangannya pada harga RM17,000 sebagai modal membeli kereta baharu untuk bekerja sebagai pemandu Grab bagi meneruskan kelangsungan hidup.


Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading