Lain-Lain Terkini

YAKEB, MSDeaf jalin kerjasama


YAYASAN Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) dan Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf) menandatangani Memorandum Perjanjian Persefahaman (MoU) bagi membantu bekas atlet kebangsaan yang pernah mewakili negara di Kejohanan Sukan Orang Pekak.

Menerusi inisiatif tersebut, YAKEB akan membantu MSDeaf dengan menawarkan Program Kerjaya Hospitaliti YAKEB-DHS membabitkan pelbagai bidang berkaitan industri hospitaliti melalui penglibatan rakan strategiknya DHS Hospitality Academy.

Program tersebut menawarkan Diploma Program Laluan ke Hospitaliti Global selama setahun meliputi pembelajaran secara teori selama empat bulan dan secara praktikal selama lapan bulan di Malaysia atau Singapura lengkap dengan beberapa elaun, penginapan dan perlindungan insurans.

Pengerusi YAKEB Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed berkata, program tersebut terbuka kepada 10 ahli MSDeaf dan 10 bekas atlet berdaftar dengan YAKEB dengan nilai tajaan mencecah RM360,000.

“Program ini adalah untuk mewujudkan norma baharu bagi mencabar individu secara fizikal dalam industri hospitaliti seterusnya membolehkan mereka bekerja atau menjadi seorang usahawan berjaya,” katanya.

Beliau berkata bekas atlet mempunyai nilai-nilai hebat kerana mereka mempunyai fikiran positif selain disiplin, keazaman dan keberanian dalam menghadapi cabaran dan nilai tersebut mampu membawa mereka lebih jauh ke hadapan.

Seorang daripada penasihat MSDeaf Datuk Seri Jamil Salleh berkata perkembangan itu merupakan antara usaha membantu bekas atlet mencipta peluang pekerjaan ketika keadaan ekonomi tidak menentu susulan impak pandemik COVID-19.

“Diploma tersebut diiktiraf kerajaan Malaysia, jadi selepas mereka menamatkan program itu ia akan menjadi lebih mudah untuk mereka mendapat pekerjaan sama ada dalam sektor kerajaan mahupun swasta,” katanya yang juga Pengerusi Perbadanan Sumber Manusia Berhad.

Selain itu, beliau berkata kerjasama antara YAKEB dan MSDeaf turut membabitkan pelaksanaan aktiviti pengumpulan dana bagi mengisi tabung kedua-dua organisasi itu antaranya program larian amal, dan penganjurannya kini bergantung kepada keadaan semasa COVID-19.

Sebelum ini, menerusi program sama seramai 10 bekas atlet berdaftar dengan YAKEB ditawarkan tajaan penuh manakala 100 ahli ditawarkan tajaan secara separa.–Bernama–


Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading