Bola Sepak Terkini

FUFC tarik diri Liga M musim depan


TIADA lagi kelibat dan aksi Kelab Bola Sepak Felda United (FUFC) dalam saingan Liga Malaysia musim depan ekoran keputusan FELDA yang mengambil alih penuh pentadbiran dan pengurusan Kelab Bola Sepak Felda United (FUFC) dan anak syarikatnya, The Fighters Sdn Bhd bermula 1 September 2020.

Menerusi kenyataan media yang disiarkan Unit Komunikasi Korporat hari ini,  keputusan ini telah dipersetujui menerusi Mesyuarat Lembaga FELDA dan tujuan utama pengambilalihan oleh FELDA adalah bagi mengawal perbelanjaan serta memastikan penyelarasan program-program sukan yang dirancang serta dilaksanakan lebih patuh kepada garis panduan pengurusan pentadbiran, prosedur perolehan, pengurusan kewangan serta penilaian risiko.

“FELDA juga ingin memaklumkan bahawa penglibatan FUFC dalam perlawanan bola sepak adalah sehingga musim 2020 sahaja. Mulai tahun 2021, FUFC tidak akan lagi menyertai Liga Super Malaysia dan Liga Premier Malaysia.

“16 orang kakitangan FUFC akan dibayar pampasan penamatan perkhidmatan mengikut syarat-syarat pelantikan yang telah dipersetujui oleh pengurusan FUFC. Notis makluman serahan tugas telah diberikan pada 17 September 2020 kepada kakitangan yang terlibat,” jelas kenyataan media terbabit.

Kenyataan media terbabit juga memaklumkan, susulan pengambilalihan ini, Akademi Bola Sepak FELDA yang dikendalikan FUFC sebelum ini tetap akan diteruskan memandangkan akademi tersebut adalah platform pembentukan bakat dan modal insan dalam kalangan generasi baharu FELDA.

“FELDA juga yakin pengambilalihan ini akan dapat membantunya untuk fokus kepada matlamat utama FELDA Well Formed Outcomes yang digarap Dato ’Seri Haji Idris Jusoh, Pengerusi FELDA yang antaranya menggariskan aspirasi meningkatkan pendapatan peneroka
sekali gus menambah baik taraf sosioekonomi warga peneroka dan generasi baharunya,” katanya.

 


Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading