Hoki

Bekas pemain kebangsaan warnai saingan


Megat D Shahriman (berdiri tiga,kanan) bersama sebahagian bekas pemain kebangsaan yang menyertai Karnival Hoki Veteran Kuala Lumpur 2020.

Karnival Hoki Veteran Kuala Lumpur 2020 nyata berada di kelas tersendiri apabila ramai bekas pemain kebangsaan berminat menyertai karnival yang berlangsung di Stadium Hoki Kuala Lumpur, semalam.

Antara nama-nama besar yang mewarnai karnival selama sehari itu adalah Iman Gobinathan dan K Keevan Raj yang beraksi di Sukan Olimpik Sydney 2000.

Mereka turut disertai Robert Alcantra, Hairul Nizam Abdul Rani, Mustaffa Arifin, Abdul Razak Saidin, Mohd Faizal Daud dan Azrul Affendy Bistaman yang juga bekas pemain negara era tahun 1990-an.

Presiden Persatuan Hoki Kuala Lumpur (PHKL), Dato’ Sri Megat D. Shahriman Zaharudin berkata, pihaknya amat gembira dengan sambutan menggalakkan yang diterima bagi kejohanan hoki pertama Pasca Covid-19 itu.

“Ia satu permulaan yang baik untuk sukan hoki setelah kami berjaya menarik penyertaan 12 pasukan dari Lembah Klang termasuk satu pasukan dari Pulau Pinang. Ia melibatkan keseluruhan 120 pemain yang berusia 40 tahun ke atas.

“Kita percaya ini sebahagian daripada langkah untuk menggalakkan komuniti hoki di Malaysia kembali aktif bersukan setelah sekian lama duduk di rumah ekoran penularan Covid-19 yang mengakibatkan penutupan sektor sukan selama enam bulan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah Karnival Hoki Veteran Kuala Lumpur 2020. Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham A. Dahlan.

Untuk edisi sulung ini menyaksikan Team Grays dinobatkan sebagai juara hasil kejayaan menewaskan TPCA 4-1 sekali gus membawa pulang wang kemenangan berjumlah RM1,000 bersama piala pusingan dan pingat manakala TPCA membawa pulang RM 800 dan pingat.

Dalam aksi final yang penuh menghiburkan itu, gol Team Grays dijaringkan oleh N Ganesan seawal minit pertama disusuli K Keevan Raj (minit ke-4), Lester Sta Maria (minit ke-6) dan K Ganesh (m-10) manakala gol saguhati TPCA dihasilkan Azrul Affendy Bistaman (minit ke-5).

Tempat ketiga pula menjadi milik Hockademy selepas mengatasi Ex Dolphins 5-1. Pasukan tersebut membawa pulang wang kemenangan RM 500 bersama pingat. Bagi pasukan tempat keempat meraih RM 300.

Sementara itu, Megat D. Shahriman turut berterima kasih kepada pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang telah memainkan peranan penting dalam memastikan kejayaan penganjuran Karnival Hoki Veteran Kuala Lumpur 2020.

“Tanpa kerjasama daripada DBKL mungkin sukar untuk kita jayakan aktiviti hoki ini, pihak mereka telah menyiapkan padang di Stadium Hoki Kuala Lumpur tepat pada masanya selepas melakukan kerja membaik pulih permukaan padang . Sudah tentu kita mahu terus mengekalkan hubungan baik sekian lama antara PHKL dan DBKL untuk pelbagai aktiviti selepas ini,” katanya.

Sebanyak 12 pasukan telah mengambil bahagian dalam edisi sulung ini antara pasukan tersebut adalah MCOBA, Ex-Dolphins, HockeyLah, Hockademy, SMS Old Boys, KEHOF serta Team Grays. Karnival ini dijalankan menggunakan peraturan hoki 5 sebelah FIH serta menggunakan format round robin.


Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading