Hoki

KHM perkuat struktur kejurulatihan


KONFEDERASI Hoki Malaysia (KHM) kini mengorak langkah ke hadapan dalam memastikan Skuad Hoki Kebangsaan Lelaki dan Wanita berada di tahap yang terbaik apabila melakukan beberapa perubahan bagi memperkuatkan lagi struktur kejurulatihan yang sedia ada.

Ini termasuk membawa individu yang dipercayai mampu memberikan suntikan untuk memperkasakan lagi pasukan hoki kebangsaan selain mewujudkan jawatan yang dilihat cukup penting bagi memastikan kesinambungan kerjaya pemain kebangsaan tidak terhenti.

Presiden KHM, Dato Sri Subahan Kamal berkata, KHM ingin memaklumkan perlantikan Arul Selvaraj sebagai Ketua Pembantu Jurulatih Skuad Hoki Lelaki Kebangsaan yang akan memulakan tugasnya secara rasmi pada 15 Ogos ini.

“Arul Selvaraj akan bekerjasama dengan Ketua Jurulatih Kebangsaan, Roelant Oltmas serta dua penolong jurulatih sedia ada dalam Skuad Lelaki Kebangsaan ketika ini iaitu Muhammad Amin Rahim serta Nasihin Nubli Ibrahim yang bertindak sebagai jurulatih penjaga gol,” ujarnya.

Pada masa sama, KHM juga telah melakukan penstrukturan semula bagi Skuad Wanita Kebangsaan dan Remaja Wanita Kebangsaan dengan menggabungkan kedua-dua pasukan tersebut menjadi satu bagi projek khas, Skuad Sukan Asia 2026 dan pecahan usia adalah 80 peratus pemain berusia bawah 21 tahun sementara 20 peratus lagi merupakan pemain melebihi usia 21 tahun.

“Persoalan siapakah yang akan menyandang jawatan selaku Ketua Jurulatih Wanita akan diputuskan sedikit masa lagi ekoran KHM kini memiliki empat individu yang telah disenarai pendekkan di mana dua daripadanya merupakan warga Malaysia sementara dua lagi daripada luar negara.

“Empat individu ini akan melalui proses temuduga akhir yang akan dipengerusikan oleh Presiden KHM bersama dua timbalannya, ahli Jawatankuasa Kejurulatihan KHM, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Dato Ahmad Shapawi Ismail selain Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara, Ahmad Faedzal Md Ramli, Ketua Bahagian Sukan Kokurikulum dan Kesenian Kementerian Pendidikan
Malaysia, Zainal Abas serta beberapa individu lain termasuk daripada Akademi Kejurulatihan Kebangsaan.

“KHM juga tidak mahu membuat keputusan tergesa-gesa kerana individu yang dipilih nanti mempunyai tugas besar untuk meletakkan Skuad Hoki Wanita Negara di satu tahap yang tertinggi dalam tempoh enam tahun akan datang.

“Calon  yang telah disenarai pendekkan diberi masa tiga minggu untuk menyediakan pembentangan bagaimana matlamat utama KHM bagi memastikan skuad wanita negara berada di kedudukan pertama di Asia berjaya direalisasikan dan jawatan tersebut bakal terisi selewat-lewatnya pada 1 September 2020,” tegasnya.

Bagi memastikan usaha yang dilakukan KHM mampu membuahkan hasil, KHM juga telahmemperkenalkan satu jawatan baru iaitu Pengarah Teknikal Projek Khas 2026 di mana individu yang menggalas tugas ini akan menyelia skuad Projek Khas Sukan Asia 2026 Lelaki dan Wanita.

“Individu tersebut juga bukan hanya ditugaskan untuk memantau Ketua Jurulatih Skuad Remaja Lelaki dan Skuad Wanita, tetapi beliau juga akan bekerjasama rapat dengan Jawatankuasa Pembangunan KHM yang dipengerusikan oleh Prof. Dato’ Dr. S. Shamala bagi Program Pembangunan Hoki Kebangsaan.

“Ini bagi memastikan semua program pembangunan diperingkat akar umbi dapat dijalankan dengan sebaiknya dan juga bagi memastikan bakat-bakat muda yang berkebolehan untuk menyarung jersi kebangsaan tidak akan terlepas pandang.

“KHM juga telah memutuskan 1 September 2020 merupakan tarikh akhir bagi individu yang menggalas tugas tersebut untuk memulakan tugas beliau,” jelas Subahan.


Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading