Uncategorized

Pesanan Otai


BEKAS pengurus Kelantan, Azman Ibrahim, mahu semua pemain bersikap terbuka terhadap isu penularan wabak COVID-19 yang bukan menjejaskan industri bola sepak negara tetapi telah menjadi masalah global yang turut memberikan impak kepada semua sektor terutama ekonomi.

Menurutnya, adalah sesuatu yang tidak adil kepada pemain meminta majikan memenuhi keperluan gaji mereka tetap dibayar penuh sedangkan dalam situasi liga terpaksa ditangguhkan, amat sukar buat mana-mana majikan menjana pendapatan sepenuhnya.

Maka beliau berpendapat perlu ada situasi menang-menang antara persatuan bola sepak negeri atau kelab dengan pemain dengan mengambil langkah pemotongan gaji dalam tempoh beberapa bulan ini dan melangsaikan kembali nilai yang dipotong sebaik liga kembali bersambung.

“ Bukan sahaja dalam industri bola sepak terjejas sebenarnya malah hampir semua industri dan di mana-mana sahaja sukar buat masa ini untuk sesiapa meraih pendapatan yang mereka dapat sebelum penularan wabak COVID-19.

“ Jika kita perhatikan, liga-liga di luar negara juga sedang hadapi krisis yang sama dan kebanyakan pemain bersetuju dengan kaedah pemotongan gaji kerana memahami kesulitan yang sedang dihadapi majikan.

“ Jadi, pemain kena duduk semeja dengan majikan dan berunding mendapatkan formula terbaik dalam keadaan sebegini, memang sukar buat mana-mana pasukan ketika tiada hasil kutipan jualan tiket serta wang daripada pihak penaja sebagai punca pendapatan.

“ Katalah mendapat sokongan daripada kerajaan negeri sekali pun, kemungkinan sebahagian besar wang itu terpaksa diperuntukkan untuk membendung penularan wabak COVID-19 terutama kepada petugas-petugas keselamatan dan kesihatan.

“ Dalam tempoh liga kita ditangguhkan, pemotongan gaji adalah cara terbaik sehingga isu COVID-19 ini selesai dan apabila liga kita disambung, mungkin majikan boleh dapatkan cara terbaik membayar balik baki beserta gaji bulanan mereka berhak dapat seperti dalam kontrak,” katanya yang juga bekas Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA).

Liga Malaysia dijangka terpaksa ditangguhkan untuk tempoh yang lebih lama selepas pihak Kerajaan Malaysia melanjutkan perintah kawalan pergerakan sehingga 14 April depan.

Situasi itu dijangka bukan sahaja memberi kesan kepada perjalanan kalendar Liga Malaysia 2020 tetapi pendapatan majoriti pasukan yang bertanding.

Dalam masa sama, Azman berpendapat pemain juga sebenarnya boleh bertolak ansur memandangkan komitmen mereka sedikit dikurangkan berdasarkan pengumuman bank-bank tempatan akan menawarkan moratorium atau penangguhan bayaran balik sehingga enam bulan kepada peminjam individu serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bermula 1 April ini.

“ Berdasarkan situasi ini, saya rasa pemain mungkin hanya perlu fokus kepada soal makan serta minum yang jadi aspek keutamaan dalam situasi yang kritikal sebegini.

“ Jadi, saya tidak nampak jika pemotongan gaji terpaksa dilakukan, kebajikan pemain akan terjejas sepenuhnya dan mereka juga kena berjimat cermat untuk sama-sama membantu kelangsungan pasukan, ” katanya.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading