Bola Sepak

Dominasi Pantai Timur


DUA pasukan dari Pantai Timur, Kelantan United FC dan Terengganu FC II terus melebarkan rekod kemenangan buat kali kedua berturut-turut bagi mengekori rapat kedudukan pendahulu Liga Premier, Pulau Pinang.

Biarpun berstatus pendatang baharu selaku juara Liga M3, Kelantan United membuktikan mereka mampu bersaing dalam kelompok atasan selepas melakar kemenangan tipis 2-1 bertemu Kuching FA di Stadium Sultan Mohamad ke-IV, Kota Bharu.

Kejayaan itu secara tidak langsung memberikan motivasi besar kepada Kelantan United menjelang pertembungan setempat dengan Kelantan pada 10 Mac ini yang dijangka menjadi antara perlawanan paling menarik bagi aksi ketiga Liga Premier.

Menurut penolong jurulatih Kelantan United, Sazami Shafii, beliau mengharapkan momentum yang ditunjukkan pasukan itu mampu diteruskan dan mahu pemain sentiasa kekalkan fokus kerana perjalanan liga masih panjang.

“ Bersyukur kerana kita meraih kemenangan sekali lagi dan lebih manis kali ini kita dapat mengambil kesempatan lakukannya di gelanggang sendiri dengan menewaskan Kuching FA yang dibarisi beberapa pemain import yang berkualiti.

“ Mungkin kita boleh meraih kemenangan besar iaitu sekurang-kurangnya lima gol jika tidak kegopohan di depan gawang lawan dalam menyudahkan peluang-peluang terbuka namun fokus kita dalam mencari tiga mata tetap terhasil.

“ Berdepan Kelantan (Selasa, 10 Mac), harapan kami agar pasukan ini mampu kekalkan rentak yang ada serta perbaiki beberapa kelemahan sebelum perlawanan nanti dalam usaha mencipta rentetan kemenangan , ” katanya.

Kuching FA terlebih dahulu di depan melalui Rafiezan Razali pada minit-19 tetapi Alfusainey Gassama menyamakan kedudukan hanya dalam tempoh tiga minit sebelum jaringan sendiri Razziman Razali pada minit-55 memusnahkan hajat Kuching FA untuk meraih sekurang-kurangnya satu mata.

Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Terengganu FC II meraih kemenangan selesa 2-0 ke atas Perak II menerusi jaringan Bruno Suzuki pada minit-25 serta Zuasyraf Zulkifli pada minit-86.

Ketua jurulatih Terengganu FC II, Roshadi Wahab, menghamburkan pujian terhadap pemain mudanya yang semakin mempamerkan peningkatan berbanding perlawanan pertama ketika bertemu Selangor 2 walaupun secara keseluruhan, rentak permainan pasukan masih belum memuaskan hatinya.

“ Memang ada kesilapan-kesilapan kecil dibuat oleh pemain tambahan ada antara mereka pertama kali beraksi tetapi jika hendak dibandingkan tempoh hari berbanding ketika berdepan Selangor 2, saya rasa kali ini mereka semakin baik.

“ Berdepan Kuching FA dalam perlawanan ketiga nanti di tempat lawan(Selasa, 10 Mac) sudah pasti akan menjadi ujian besar kepada pemain tambahan lawan baharu sahaja tewas kepada Kelantan United, situasi itu sudah pasti membuatkan mereka semakin bersemangat tinggi untuk memburu mata sulung di tempat sendiri namun kami akan cuba kekalkan rekod tanpa kalah ini, ” katanya.

Casagrande terus mencetak nama selaku peledak gol buat Pulau Pinang.

Casagrande terus menjadi peledak utama buat Pulau Pinang apabila mencetak hatrik ketika menumpaskan Selangor 2 dengan keputusan 4-1 di Stadium Bandaraya.

Endrick Dos Santos terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit-35 sebelum penyerang berketinggian 1.90 meter itu mencipta tiga gol pada minit 54, 63 dan 67 sebelum Bajram Media memberikan gol saguhati kepada Selangor 2 pada minit-88.

Dua gol dari Patrick Ronaldinho sudah cukup membantu pasukan mengatasi JDT II dengan kemenangan 4-1.

Sarawak United FC pula melakar kemenangan pertama mereka musim ini dengan penuh bergaya apabila membenam cabaran Johor Darul Ta’zim II (JDT II) 4-1 di Stadium Negeri.

Gol Sarawak United FC disumbangkan Mohd Alif Hassan pada minit-44 diikuti dua jaringan peribadi Patrick Ronaldinho pada minit-35 dan 78 selain Demerson Bruno Costa pada minit-45 manakala gol tunggal JDT II melalui Che Rashid Che Halim pada minit 72.

Sementara itu di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, Francis Kone terus menjadi perhatian apabila menjaringkan dua gol penting pada minit-47 dan 90 bagi membantu skuad warga kota meraih kemenangan sulung musim ini selepas meraih kemenangan 3-1 berdepan Negeri Sembilan.

Indra Putra Mahayuddin turut menyumbanh satu lagi jaringan buat Kuala Lumpur sementara gol Negeri Sembilan dihasilkan Igor Luiz pada minit-67.

Dalam pada itu, aksi UKM FC dan Kelantan di Stadium Selayang pada Jumaat lalu terpaksa ditunda ekoran cuaca buruk akibat hujan lebat dan petir.

Antara pertembungan lain yang akan berlangsung pada Selasa ini ialah membabitkan Perak II yang akan berdepan cabaran getir menerima kunjungan Pulau Pinang di Stadium Majlis Perbandaran Manjung manakala Negeri Sembilan dalam misi mencari mata pertama mereka musim ini apabila bertemu UKM FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Sementara dua perlawanan yang dijadualkan pada Rabu ialah Selangor bertemu Sarawak United FC dan JDT II yang akan melakukan perhitungan dengan Kuala Lumpur di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading