Uncategorized

Hamidin cabar Safawi


SUBKHI SUDARJI

PEMAIN yang menjadi bualan hangat baik penyokong Malaysia dan Indonesia serta pencabar lain, Safawi Rasid pernah diberikan amaran oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin di atas kemarau jaringan gol yang dialami penyerang kelahiran Dungun, Terengganu ini.

Diberikan amaran selepas gagal menjaringkan gol selepas empat perlawanan Kumpulan G sebelum ini, pemain berusia 22 tahun ini mengambil positif cabaran tersebut dengan meledak dua gol membantu pasukan menewaskan Indonesia pada kelima Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi ketika mendedahkan rahsia itu berkata, Safawi sebenarnya telah diberikan ‘amaran’ oleh Datuk Haji Hamidin kerana gagal menjaringkan sebarang gol selepas empat perlawanan Kumpulan G ini berlangsung di hotel penginapan sebelum perlawanan.

“Cabaran itu dilontarkan Hamidin di hadapan semua pemain ketika beliau hadir bersarapan pagi bersama pemain pada pagi hari perlawanan (semalam) dan secara khususnya Datuk Haji Hamidin berkata yang beliau mahu Safawi menjaringkan gol untuknya malam ini (malam tadi).

“Bagi Hamidin, walaupun Malaysia menang ke atas Indonesia sekali pun, beliau tetap mahu melihat nama Safawi dalam senarai penjaring kerana Safawi masih belum menjaringkan gol lagi dalam pusingan kelayakan ini.

“Jadi pada akhirnya, Safawi telah menyahut cabaran tersebut dengan positif apabila berjaya menjaringkan dua gol dan bolehlah dikatakan kemenangan ke atas Indonesia ini dibantu dengan ‘sentuhan khas’ daripada Presiden FAM,” ujarnya.

Ledakan dua gol Safawi menamatkan kemarau jaringannya dan membantu pasukan meraih tiga mata.

Dengan kemenangan ke atas Indonesia itu, Malaysia kini di tangga kedua Kumpulan G dengan 9 mata, di belakang pendahulu, Vietnam (11 mata) dan seterusnya Thailand (8), UAE (6) dan Indonesia (0) selepas lima perlawanan, kecuali UAE empat perlawanan.

Selaku pengurus pasukan, Datuk Wira Mohd Yusoff turut memuji Safawi yang telah berjaya membuktikan reputasinya sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) pada Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 2019 yang berlangsung baru-baru ini.

“Kami barisan pegawai dan kejurulatihan skuad Harimau Malaya sentiasa memberi dorongan dan sokongan kepada Safawi sepanjang kem latihan pusat kali ini untuk dia terus berada pada prestasi terbaik pada setiap perlawanan.

“Sesuai dengan reputasinya di peringkat domestik sebagai MVP, saya rasa dua gol yang dijaringkannya malam tadi telah membuktikan tahap profesional Safawi yang sentiasa berusaha untuk berada pada tahap prestasi yang sama ketika perlawanan peringkat antarabangsa,” katanya.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading