Uncategorized

Menanti impak Budak Jepun


NAMA Hadi Fayyadh Abdul Razak bukanlah sesuatu yang asing buat pemerhati bola sepak apabila pemain yang beraksi diposisi serangan ini melebarkan kariernya dengan menyertai pasukan Fagiano Okayama tahun lalu.

Merupakan penyerang skuad skuad Bawah 19 tahun (B-19), Hadi Fayyadh berjaya memikat hati pengurusan kelab Divisyen Dua Liga Jepun (J2) selepas menjalani dua sesi latihan bersama mereka pada September dan November lalu sebelum ditawarkan kontrak selama setahun.

Hadi Fayyadh yang ditemui selepas menandatangani kontrak bersama pasukan itu di Pusat Latihan Masada, Okayama Disember tahun lalu mengakui teruja apabila impiannya sejak kecil untuk beraksi di luar negara akhirnya menjadi kenyataan.

“Alhamdulillah saya berasa sangat gembira kerana berjaya menempatkan diri dalam kelab ini. lni adalah satu permulaan yang baik bagi saya untuk meningkatkan kemahiran diri.

“Sebagaimana yang kita tahu, Jepun adalah antara pasukan bola sepak yang terbaik di Asia dan mempunyai program pembangunan bola sepak yang tersusun.

“Jadi, saya akan menggunakan kepercayaan yang diberikan Fagiano Okayama dengan sebaiknya dan sasaran saya adalah untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama,” ujarnya.

Sebagai rekod, penyertaan Hadi Fayyadh dalam JLeague di kira sebagai penyertaan pertama pemain Malaysia kerana ketika Wan Zack Haikal dan Nazirul Naim bersama kelab bola sepak Ryukyu pada 2013, kelab tersebut bermain dalam liga Japan Football League (JFL), sebuah liga semi profesional dan bukannya JLeague. Kelab Bola Sepak Ryukyu Japan mula menyertai JLeague pada 2014.

Namun selepas hampir setahun berkelana disana, sehingga kini pemain tinggi lampai itu masih belum berjaya menempatkan diri dalam kesebelasan utama kelab selain kurang menyengat ketika bersama skuad B23 Tahun negara yang sudah pasti menimbulkan seribu persoalan.

Adakah dia menghadapi masalah komunikasi hingga gagal mendengar arahan dari jurulatih dengan jelas yang menjejaskan prestasinya, faktor cuaca atau pun pemakanan…semua ini antara beberapa persoalan yang berlegar dikalangan peminat bola sepak tempatan yang sememangnya mengharapkan impak besar dari penyerang tinggi lampai ini.

Pemain tinggi lampai berusia 19 tahun itu diberi tawaran kontrak selama setahun oleh Fagiano Okayama dan pastinya pengalaman itu antara yang terbaik sepanjang kariernya.

Apabila situasi ini timbul pastinya individu yang bertanggungjawab penuh membawa Hadi Fayyadh mengembangkan kariernya ialah Hiroshi Hamada yang merupakan Pengarah Urusan Yakult Malaysia Sdn Bhd yang juga merupakan penaja Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Tidak mudah melatah dan tenang apabila ditanyakan mengenai perkara ini, Hamada memaklumkan Hadi Fayyadh memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan landskap bola sepak Jepun.

“Dia masih baharu dan memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan kelabnya. Dia perlu lebih bekerja keras untuk faham sistem bola sepak kelab.

“Apa yang saya nampak dia perlu mengubah ‘positioning’ dan tidak hanya menunggu bola. Hadi perlu lebih banyak melakukan pergerakan.

“Dan kelemahan itulah yang Hadi sedang perbaiki sekarang. Dia juga banyak bermain dalam perlawanan persahabatan kelab,” jelas Hamada.

Ketika ditanya mengenai kontrak Hadi Fayyad yang bakal berakhir Disember ini, Hamada mengakui ia merupakan isu sensitif buat masa sekarang.

“Liga Jepun masih bertanding sehingga Disember ini. Sehingga itu kelab tidak akan berbincang mengenai kontrak dengan mana-mana pemain sehingga tamat musim.

“Kita tunggu sehingga liga musim ini tamat,” ujarnya yang sentiasa ramah melayan persoalan dari media.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading